'Tak Suka Boleh Angkat Kaki'


“PEMAIN yang mahu boikot, sila cari jalan keluar,” itulah amaran Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mengenai khabar angin di media sosial mengenai wujud protes dalam kalangan pemain terhadap ketegasan ketua jurulatih, Fajer Ebrahim.

Presidennya Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, khabar angin itu seolah-olah mengambarkan mentaliti beberapa pemain yang tidak mempunyai kesungguhan dalam pasukan sedangkan sifat itu paling diperlukan untuk mencapai kejayaan.

“Biarpun ia sekadar khabar angin tapi memang saya sudah tahu ada segelintir pemain suka protes kalau ada sesuatu perkara yang mereka tidak suka.

“Di sini saya mahu berpesan satu saja jika masih wujud dan dakwaan seperti yang ditularkan itu benar saya mahu katakan kepada pemain itu supaya cari jalan keluar daripada pasukan.

“Selagi ada pemain macam ini sampai bila pasukan kita nak maju, pemain kena ingat dan lihat sendiri di mana kedudukan kita sekarang sebab itu kena ada disiplin serta ketegasan jurulatih,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kehadiran bekas jurulatih kebangsaan Syria dalam skuad Kijang Merah sejak dua minggu lalu jelas menampakkan banyak perubahan dalam corak latihan pasukan.

Selain itu, beberapa peraturan turut disenaraikan jurulatih berusia 53 tahun itu antaranya larangan membawa telefon bimbit ketika sesi latihan dan sebelum perlawanan serta jika melanggar arahan itu pemain akan dikenakan denda wang tunai.

Mengulas lanjut, Bibi Ramjani berkata, tiada alasan bagi seorang pemain bolasepak untuk menyuarakan protes mereka terutama mengenai masa latihan pasukan.

“Jika mereka mahu protes kerana latihan terlalu banyak, cuba bayangkan mereka hanya berlatih setiap hari satu jam setengah hingga tiga jam sahaja (mengikut jurulatih).

“Masa itu jauh lebih singkat daripada orang yang biasa bekerja di pejabat yang memerlukan masa kerja lapan jam sehari.”

Sumber: Metro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com