Tak Perlu Takut Dengan Akta Anti Berita Tidak Benar Jika Tak Berniat Jahat


KUALA LUMPUR – Mana-mana pihak mahupun individu tidak perlu takut dengan cadangan denda sejumlah RM500,000 dan penjara selama 10 tahun untuk Akta Antiberita Tidak Benar 2018 jika tidak mempunyai niat untuk menyebarkan fitnah.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sememangnya undang-undang itu ditetapkan untuk memberi ketakutan kepada sesiapa pun yang mahu menyebarkan berita yang palsu.

Sehubungan itu, katanya, pihak yang membantahnya dan menyuarakan kebimbangan merupakan mereka yang mempunyai hasrat melakukannya.

“Contoh. dadah berbahaya siapa yang bawa hukumnya gantung kamu takut tak? Tidak siapa yang takut sebab tiada siapa yang bawa dadah

“Bagi yang tidak ada niat untuk buat cerita bohong, walau sejuta tidak takut. Yang takut denda itu hanya yang ada niat di kepala untuk buat jahat ( fitnah), itu sahaja.

“Tidak ada sesiapa yang takut dengan undang-undang jenayah dalam negara kalau tidak buat jahat. Tapi yang buat jahat selama ini memfitnah pemimpin, menyebar berita paksu merekalah yang akan takut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis konvokesyen Diploma Eksekutif Pembangunan Luar Bandar dan majlis penutup Program Sijil Tadbir Urus Desa INFRA-UNIKL, Zon Tengah / Selatan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Ismail Sabri dalam pada itu menegaskan akta tersebut menjadi keperluan global pada masa kini untuk keamanan daripada kumpulan tertentu yang berniat jahat mencetuskan ketidakstabilan negara dengan hujak menggunakan hak sebagai rakyat untuk bersuara.

“Akta berita palsu perlu diadakan bukan sahaja di Malaysia tetapi di negara-negara lain, Singapura dan United Kingdom pun tengah buat kajian.

“Dari segi negara kita Perlembagaan rakyat diberi hak bersuara kepada setiap individu tetapi hak bersuara bukan mesti memfitnah dan berbohong.

“Undang-undang yang kita buat menjaga kepentingan orang ramai daripada kumpulan yang kecil yang boleh merosakkan keamanan negara,” tambah beliau.

Sumber - MalaysiaGazette

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com