Tak Payah Pergi London, Malaysia Pun Ada


Rembau: Menggunakan basikal klasik model Sunbeam dan memperagakan pakaian seragam pengawal Istana Buckingham, London, United Kingdom (UK) membawa tuah kepada Ezafel Rafique Hassan, 48, apabila muncul johan pada pertandingan Basikal Klasik Terbuka Rembau, Ahad lalu.

Kemenangan itu membolehkannya membawa pulang RM500 yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Modal Insan, Belia dan Sukan negeri Datuk Zaifulbahari Idris.

Pertandingan di Dataran Rembau itu diadakan sempena pelepasan Le Tour de Langkawi (LTdL) peringkat terakhir dari Dataran Rembau ke Kuala Lumpur.

Ezafel Rafique dari Port Swettenham Classic Bicycle (PSCB), Klang, Selangor berkata, dia tidak menyangka menjadi juara kerana penyertaannya hanya sekadar suka-suka.

“Kehadiran saya ke Rembau hanya memenuhi undangan rakan pencinta basikal klasik dari Negeri Sembilan dan ingin menyaksikan acara pelepasan peringkat terakhir acara LTdL.

“Bagaimanapun, inilah yang dikatakan rezeki. Terima kasih penganjur kerana melaksanakan program selingan ini sempena LTdL,” katanya.

Menceritakan kembali basikal Sunbeam buatan 1926 miliknya, Ezafel berkata, basikal itu dibeli daripada pemilik asal di UK pada 2013 pada harga RM4,000.

“Pakaian pengawal istana Buckingham ditempah khas itu pula berharga RM500.

“Kemungkinan pakaian pengawal istana Buckingham faktor kemenangan saya kerana pakaian itu unik dan mendapat perhatian juri,” katanya.

Pertandingan anjuran Majlis Daerah Rembau dan Kementerian Belia dan Sukan itu menarik minat 50 pencinta basikal klasik dari seluruh negara.

Tempat kedua membawa pulang wang tunai RM300, ketiga (RM200), keempat (RM100) dan enam hadiah sagu hati RM50 seorang.

Sumber: Metro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com