Syamsul Debat Nafi Skandal Isteri Orang


SEREMBAN: Personaliti program motivasi dan keagamaan, Syamsul Amri Ismail menafikan tuduhan yang mengaitkan beliau mempunyai hubungan sulit dengan seorang wanita seperti mana yang disiarkan media pada Ahad.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Syamsul Debat, 41, melahirkan rasa terkejut selepas dihujani pelbagai pertanyaan daripada anggota keluarga sebaik saja pulang dari Tanah Suci Makkah, Ahad.

“Saya tidak tahu (kandungan laporan polis itu), cuma saya berdasarkan laporan akhbar yang menyebut dan meletakkan gambar saya, merujuk kepada saya dan meletakkan biodata dan profil saya. Itu pada saya agak (tidak kena). Sebab itu saya panggil sidang media untuk penafian ini.

“Laporan akhbar tulis ada laporan polis dibuat di Johor Bahru dan kita pun tak tahu siapa, lelaki ke perempuan ke, (dan) orang yang buat tuduhan dan saya tak boleh kata apa cuma kalau tuduhan itu kata libat isteri orang, saya menafikan. Apa tuduhannya pun kita tak jelas,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini, Isnin.

Pada Ahad, media melaporkan seorang pendakwah terkenal disiasat atas dakwaan terlibat skandal dan mengganggu isteri orang.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin dipetik sebagai berkata, siasatan itu dilakukan selepas polis menerima laporan yang dibuat seorang pe­ngadu di sebuah balai polis di Johor, baru-baru ini.

Syamsul Amri berkata beliau setakat ini belum pun dipanggil polis untuk memberi keterangan.

“Laporan media itu seolah-olah saya dah disoal siasat, jadi tidak tepatlah. Saya menafikan. Saya tak tahu apa punca tuduhan ini dan kenapa saya? saya kena bersihkan nama saya,” katanya.

Syamsul Amri berkata pihaknya turut mempertimbangkan tindakan undang-undang kepada media yang telah mengeluarkan kenyataan mengelirukan dalam kes terbabit.

“Saya mohon media berkenaan buat permohonan maaf kepada saya dan keluarga saya dan itu sewajarnya... dengan tahap sekarang ini, kita tak tahu apa laporan itu, (sama ada) betul ke tak betul ke hujung pangkal.

“Buat masa ini laporan polis dah dibuat dan saya sedia beri keterangan,” katanya. - Bernama


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com