Subsidi Haji Tahun Ini RM500 Juta


KUALA LUMPUR - Kadar subsidi perlu ditanggung Tabung Haji (TH) bagi musim haji tahun ini meningkat daripada RM300 juta kepada RM500 juta berikutan pelaksanaan Cukai Nilai Tambah (VAT) lima peratus oleh kerajaan Arab Saudi.

Bagaimanapun, kos mengerjakan haji bagi jemaah haji muassasah kali pertama kekal RM9,980 susulan arahan Datuk Seri Najib Razak supaya TH tidak menaikkan kos tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata Perdana Menteri amat prihatin dengan peningkatan kos haji tahun ini ekoran pengenalan VAT dan tidak mahu jemaah terbeban.

Namun, beliau berkata, pelaksanaan VAT mulai tahun ini pada asasnya tidak akan memberi impak secara langsung terhadap jemaah haji Malaysia.

"Kos mengerjakan haji bagi musim tahun ini atau 1439 Hijrah mengikut muassasah secara keseluruhannya meningkat kepada RM22,450 berbanding RM19,550 tahun lalu.

"Kesan percukaian VAT sudah diambil kira dalam kos haji. Pengiraan VAT membabitkan RM733 bagi setiap jemaah haji merangkumi kos penginapan, makanan dan perkhidmatan di Arab Saudi, menjadikan jumlah subsidi ditanggung TH meningkat daripada RM300 juta kepada RM500 juta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Raime Unggi (BN-Tenom) mengenai langkah strategik dilaksanakan kerajaan bagi menanggung kos haji tahun ini susulan pelaksanaan VAT oleh Arab Saudi, pada sidang Dewan Rakyat,hari ini.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, tempoh menunggu giliran mengerjakan haji kini meningkat kepada 106 tahun susulan peningkatan jumlah pendaftaran haji setiap tahun.

"Pendaftaran haji sehingga 28 Februari lalu mencecah 2.9 juta orang. Pada Februari saja, pendaftaran haji baharu ialah 39,042 orang dan pendaftaran semasa bagi tahun ini sehingga Februari lalu mencecah 78,991 orang.

"Ini menjadikan tempoh menunggu giliran untuk mengerjakan haji mencecah 106 tahun," katanya menjawab soalan tambahan Raime.

Beliau berkata, Sistem Haji Pintar yang bakal dilaksanakan tahun ini pula dijangka dapat mengurangkan proses imigresen jemaah Malaysia memasuki Arab Saudi daripada dua jam kepada 10 minit.

"Tahun lalu, TH sudah terbabit projek perintis dalam Sistem Haji Pintar yang mana ia mempercepatkan proses prapelepasan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com