Sorok Mayat Kekasih Dalam Almari


GEORGE TOWN- Bau busuk dari dalam sebuah almari di sebuah rumah di Paya Terubong, George Town membawa kepada penemuan mayat seorang wanita warga Indonesia, malam tadi.

Mayat wanita berusia 25 tahun itu ditemui disumbat di dalam sebuah almari berkunci oleh dua lelaki warga Nepal yang menghuni rumah terbabit selepas curiga dengan keadaan bau busuk berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Anuar Omar berkata, mangsa yang dikenali sebagai Santi Restauli Simbolon dan bekerja di sebuah kilang di Bayan Lepas, dipercayai meninggal dunia sejak tiga hari lalu.

Katanya, polis terpaksa memecahkan pintu bilik yang dikunci selain memecahkan mangga almari sebelum menemui mayat itu.

Menurut Anuar, mangsa merupakan teman wanita kepada salah seorang penghuni rumah tersebut – juga warga Nepal yang dikenai sebagai Sandip Gurung – dan pernah beberapa kali datang ke rumah itu.

Bagaimanapun, suspek berusia 27 tahun itu telah menghilangkan diri.


Menurut rakan serumahnya, kali terakhir suspek dilihat di rumah itu adalah pada Sabtu lalu. Pihak polis kini sedang menjejakinya.

Anuar berkata, motif kejadian dipercayai akibat cemburu, manakala siasatan awal ke atas mayat mangsa tidak menunjukkan sebarang kesan kecederaan di bahagian luar tubuh mangsa.

Mayat wanita itu kemudiannya dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sumber: Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com