Skim Sewa Beli Rumah Transit PPR


SUNGAI PETANI - Kerajaan mengkaji semula dasar rumah transit Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi membolehkan penyewa memiliki kediaman itu menerusi skim sewa beli.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, berkata ia bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah kekal dengan bayaran bulanan yang rendah tanpa perlu mendapatkan pinjaman daripada institusi perbankan.

"Kita juga berharap dengan inisiatif ini, penyewa akan lebih proaktif untuk memelihara kebersihan dan keindahan kawasan perumahan berkenaan kerana kebanyakan mereka tidak berbuat demikian kerana tidak mempunyai perasaan pemilikan ke atas perumahan ini," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat Perumahan Transit PPR Harmoni di Paya Nahu, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Badrul Hisham Hashim dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Kedah Datuk Tajul Urus Mat Zain.


Ketika lawatan itu, Noh mengumumkan berita gembira kepada penyewa 592 unit rumah transit itu kerana mereka akan ditawarkan untuk memiliki kediaman berkenaan melalui skim sewa beli.

Ketika ini, mereka membayar sewa RM90 sebulan.

Mengulas lanjut, Noh berkata kerajaan Kedah akan menjalankan operasi pemutihan bagi memastikan hanya penyewa asal yang berdaftar ditawarkan untuk memiliki kediaman transit di sini.

Beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan RM6 juta bagi membaiki kerosakan dan pengindahan di kawasan rumah transit itu.

Mei lalu, beliau mengumumkan peruntukan RM2 juta bagi kerja berkenaan.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com