Sistem ‘QR Code’ Kenal Pasti Bot Nelayan


PASIR PUTEH – Jabatan Perikanan akan menggunakan sistem Quick Response (QR) Code untuk bot-bot nelayan yang beroperasi di Zon C2 (Laut Dalam), kata Ketua Pengarahnya Datuk Munir Mohd Nawi.

Beliau berkata pihaknya sedang menguji keberkesanan sistem berkenaan terhadap 10 bot nelayan di negeri ini sejak Disember lepas.

Katanya sistem berkenaan diperkenalkan bagi mengawal pengeluaran lesen vesel dan peralatan menangkap ikan bagi memastikan ia diberikan kepada pengusaha industri perikanan tulen dan sekali gus mengekang vesel.

“Fungsi lain sistem ini adalah ia dapat memberi pengenalan khas setiap vesel, memudahkan pemeriksaan dan mempertingkatkan integriti.

“Menerusi sistem ini, kod yang digunakan pada vesel dapat diterjemah dengan pantas dengan pengimbas kod atau telefon pintar,” katanya pada sidang berita selepas merasmikan Program Jalinan Mesra Perdana Nelayan dan Penternak Akuakultur di Pelabuhan Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tok Bali di sini.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Semerak Datuk Zawawi Othman.

Dalam perkembangan berkaitan, Munir berkata Tok Bali mampu menjadi hab perikanan laut dalam di Pantai Timur terutama menerusi pelbagai projek infrastruktur seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dan pembinaan kilang pemprosesan hasil laut.

Beliau berkata pihaknya berharap nelayan dana usahawan di kawasan Tok Bali dapat mewujudkan lebih banyak model perniagaan baharu dalam membangunkan industri huluan dan hiliran.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pengusaha Laut Dalam Kelantan Ahmad Ambok Selok berkata pihaknya menyambut baik usaha Jabatan Perikanan memperkenalkan sistem QR Code itu.

“Bagaimanapun, kami berharap penjelasan lebih lanjut diberikan kepada nelayan mengenai fungsi sistem ini,” katanya. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com