Sistem Parol Malaysia Terbaik Di Asia Tenggara


MELAKA - Sistem parol yang dilaksanakan di Malaysia diiktiraf sebagai yang terbaik di rantau ini apabila hanya mencatatkan 0.4 peratus kadar jenayah berulang, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sistem itu juga berjaya mencatat penurunan kadar indeks jenayah keseluruhan terbaharu ke tahap 53 peratus, berbanding 47 peratus yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu.

Peratusan rendah itu, katanya, sekali gus membuktikan langkah kerajaan melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) berkesan dalam mengurangkan kadar kes jenayah.

"Lanjutan Program Pemulihan Komuniti (CRP) menerusi latihan sosial ekonomi membabitkan banduan yang mempunyai baki tempoh kurang setahun di penjara, memperlihatkan contoh terbaik bagi membantu pemulihan banduan.

"Dengan adanya pelbagai latihan diberikan sehingga hari ini, ramai di antara mereka (bekas banduan) berjaya sebagai pengusaha songket dan peniaga roti, malah sebanyak RM38 juta dilaporkan diterima oleh Jabatan Penjara setiap tahun menerusi hasil jualan biskut.

"Ia secara tidak langsung dapat mengurangkan kos operasi banduan di dalam penjara, selain mengatasi kesesakan (di dalam penjara)," katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Bukit Beruang, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron; Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Jalil Hassan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Roslan Ibrahim.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengadakan pertemuan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi Taklimat Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Bilik Gerakan IPK negeri, sebelum bertemu peserta Skim Rondaan Sukarela (SRS) serta Kawasan Rukun Tertangga (KRT) Negeri Melaka.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut mengumumkan peruntukan tambahan RM100,000 kepada SRS Melaka bagi memantapkan pelaksanaan program itu di negeri ini.

Katanya, peruntukan berkenaan bertujuan memberi motivasi kepada seluruh anggota SRS yang melaksanakan aktiviti pencegahan jenayah dalam komuniti masing-masing.

"Saya amat prihatin dengan pelaksanaan program ini (SRS) dan mahu usaha berterusan, termasuk kerjasama antara kementerian, agensi penguatkuasaan serta badan sukarela untuk mencapai objektif memenuhi kesejahteraan rakyat,"katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com