Sistem Haji Pintar Akan Jadi Pilihan Tabung Haji


ALOR SETAR - Lembaga Tabung Haji (TH) sentiasa bersedia dan akan mempertimbangkan sebarang proses naik taraf termasuk penggunaan Sistem Haji Pintar yang bakal digunapakai kerajaan Arab Saudi bermula tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, sebagai persediaan terhadap perkara itu, satu pasukan khastelah ditubuhkan demi melakukan semua persediaan yang diperlukan bagi tujuan itu.

"Kita sentiasa mengalu-alukan dan menyokong sebarang usaha dalam menaik taraf kemudahan jemaah haji oleh Arab Saudi dan bagi penggunaan sistem Haji Pintar, kita sudah tahu serta melakukan pelbagai persediaan bagi melancarkan urusan ketika di Malaysia dan Arab Saudi," katanya.

Beliau berkata ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penyerahan Baucer Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2018 di sini, kelmarin.

Tambahnya, elemen sistem yang bakal disediakan adalah melaksanakan pemeriksaan pasport menggunakan Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) berbanding secara manual yang diamalkan ketika ini.

"Sistem ini bakal mengurangkan masa menunggu di lapangan terbang dari dua jam, malah ada hingga 18 jam seperti sekarang kepada 30 minit," katanya.

Dalam pada itu, kerajaan Arab Saudi turut merancang melaksanakan visa E-Haj di seluruh dunia mulai tahun ini, selepas kejayaan projek perintis di Malaysia.

"Ia juga penghargaan dan pengiktirafan kepada jemaah haji Malaysia apabila dipilih untuk dijadikan kumpulan perintis menguji Sistem Bukti Konsep (POC) bagi pelepasan awal sebelum berangkat ke Arab Saudi.

"Malah latihan dan pengurusan haji serta disiplin yang dipamerkan jemaah turut membawa kepada penarafan 9.5 daripada 10 oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi kepada Tabung Haji dan saya harap ia berterusan," jelasnya.

Sementara itu, Abdul Azeez meminta kepada semua bakal jemaah supaya menjawab surat tawaran menunaikan haji dalam kadar segera ekoran TH perlu menyerahkan segala dokumen berkaitan dan permohonan visa sebelum ramadan ini.

"Kita perlu masukkan nama jemaah dengan segera dalam sistem bagi memudahkan urusan visa seperti mana yang ditetapkan perundangan Arab Saudi.

"Ini juga akan memudahkan kita untuk mengetahui daripada 30,280 jumlah jemaah yang ditawarkan, menerima tawaran menunaikan haji sebelum membuka tawaran kepada mereka yang lain," katanya. - Kedahnews.com
   



No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com