Siri IV: Cina MCA Vs Cina DAP: Provokasi Agama Bina Politik Kebencian


DALAM siri ketiga wawancara eksklusif bersama Kedahnews.com, Timbalan Pengerusi MCA Negeri Kedah, Dato' Dr Leong Yong Kong mengupas mengenai perbezaan pendekatan antara MCA dan DAP berhubung keharmonian kaum di Malaysia.

Namun kupasan beliau lebih menarik dalam siri keempat wawancara ini di mana Exco Kerajaan Negeri Kedah itu menjelaskan perbezaan ketara MCA dan DAP berhubung isu kedudukan agama Islam dan kepentingan agama lain di negara ini.

"Sekali lagi, saya tegaskan bahawa MCA tradisinya tidak pernah melanggar batas-batas senstiviti di negara kita, terutama menyentuh soal hak kedudukan agama Islam seperti yang termaktub dalam perlembagaan kita.

"Dari awal merdeka lagi, ia adalah sebahagian daripada apa yang kita persetujui dalam kontrak sosial dan kita dokong prinsip itu hingga ke hari ini.

"MCA amat menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan. Kami tidak pernah bersikap anti-Islam. Siapa yang tuduh MCA anti-Islam, maka dia tidak kenal siapa MCA sebenarnya," tegas Dr Leong mengenai pendirian MCA.


Kata Exco Kerajaan Negeri Kedah itu, MCA juga menjunjung ketetapan perlembagaan yang memberi hak kepada semua masyarakat di negara ini untuk bebas mengamalkan agama dan kepercayaan masing-masing secara adil, tanpa menjejaskan kedudukan agama Islam.

"Kita sentiasa menyedari tentang kedudukan agama Islam dalam perlembagaan dan tidak akan sesekali mencabar hak dan keistimewaan tersebut. Ianya tetap terpelihara di bawah naungan Yang DiPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

"Namun begitu, perlembagaan yang kita junjung itu juga bersifat adil dengan membenarkan agama dan kepercayaan lain diamalkan secara bebas, selagi tidak menyalahi peruntukan perlembagaan atau menjejaskan kedudukan agama Islam.

"Itulah prinsip yang MCA dan kerajaan BN pegang selama ini. Kita tidak pernah persoal kedudukan agama Islam, dan kita bebas mengamalkan agama dan kepercayaan kita secara adil. Tidak pernah kita nafikan hak antara agama di Malaysia," ujar beliau.

Namun begitu kata Dr Leong, DAP kelihatan langsung tidak peka terhadap sensitiviti masyarakat berbilang agama di negara ini dan sering dilihat seolah-olah sengaja mencabar kedudukan agama Islam sehingga menimbulkan kemarahan umatnya.

Menurut beliau, sejarah DAP dari dulu hingga kini tidak serik-serik sengaja mencetus kontroversi dan mengapi-apikan emosi masyarakat bukan Islam khususnya orang Cina untuk percaya, kononnya kerajaan BN berlaku tidak adil terhadap agama lain supaya mereka terpedaya dan menolak BN.

"Jika kita rujuk peristiwa dahulu, ketika wakil rakyat MCA mahu mengangkat sumpah sebagai Ahli Exco Kerajaan Negeri, Menteri dan sebagainya dalam majlis-majlis rasmi kerajaan, kami patuh mengenakan pakaian istiadat dan bersongkok.

"Namun di depan masyarakat Cina, DAP tuduh MCA kononnya sudah melupakan agama dan adat resam orang Cina dengan berpakaian seperti orang Melayu, hinggakan orang Cina marah pada MCA ketika itu.

"Tapi apabila mereka (DAP) membentuk kerajaan, DAP berubah sekelip mata mengatakan mereka perlu patuh pada peraturan majlis angkat sumpah sebagai anggota pentadbiran kerajaan di negeri yang mereka menubuhkan kerajaan. Cuba nilai sendiri betapa hipokritnya sikap DAP," ujar beliau.


Malah kata Dr Leong, di zaman ini juga DAP masih begitu gemar berlakon "keras" terhadap amalan agama Islam, khususnya dengan mempersoal tentang laungan azan di surau dan masjid sehingga membangkitkan kemarahan umat Islam.

"Itulah sikap konfrontasi akibat daripada konsep 'Malaysian Malaysia' yang diperjuangkan DAP tanpa kita sedari. Mereka mahu samakan kedudukan agama Islam dengan agama lain mengikut acuan kehendak mereka.

"Mereka sengaja buat tak kisah apa yang sudah termaktub dalam perlembagaan tentang kedudukan agama Islam dan kita yang bukan Islam perlu hormati kedudukan tersebut. MCA sentiasa berwaspada  dan memastikan agama-agama lain juga mendapat hak dan tidak diabaikan mengikut intipati perlembagaan.

"Lagipun, kerajaan BN tidak pernah menghalang kita amalkan agama kita. Cuba lihat di sekeliling kita. Kerajaan BN beri tanah dan sedikit-sebanyak peruntukan di mana yang perlu untuk membina dan menguruskan gereja, kuil Buddha, kuil Hindu, Sikh dan sebagainya.

"Maksudnya, apa yang tertulis dalam perlembagaan, itulah yang dilakukan oleh Kerajaan BN seadil-adilnya. Kita tidak pernah zalimi sesiapa. Jika berlakunya kontrovesi atau masalah, kita atasi dengan sikap muafakat tanpa menjejaskan keharmonian kita. Segalanya murni," ujarnya lagi.


Justeru itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gurun itu memohon masyarakat di negara ini supaya tidak terus membiarkan diri terpengaruh dengan lakunan politik DAP yang memberi kesan yang sangat negatif terhadap hubungan antara agama di negara ini.

Tegas beliau, Malaysia merupakan sebuah negara yang terbina di atas landasan yang tepat berpandukan perlembagaan, kontrak sosial dan prinsip-prinsip rukunegara yang murni, dan seluruh rakyat memikul tanggungjawab menjaga keharmonian itu bersama.

"Usahlah terus membiarkan DAP memanipulasi emosi dan pemikiran kita. Ianya hanya akan menjejaskan keharmonian agama dalam kalangan kita sahaja.

"Motif mencetuskan konfrontasi tersebut supaya mereka menang undi dan dapat kuasa, tanpa hiraukan implikasi buruk yang akan berlaku terhadap keharmonian antara agama, bangsa dan budaya kita," ujar beliau.

Ikuti kupasan lebih menarik Dr. Leong mengenai perbezaan antara MCA dan DAP yang disalah tanggap masyarakat umum dalam siri kelima wawancara ekslusif bersama meja politik Kedahnews.com yang akan disiarkan esok. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com