Seekor Gajah ‘Melawat’ Kantin SMK Telupid


PELAJAR dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telupid, Sandakan, Sabah pagi ini gempar apabila seekor gajah bertindak memasuki kantin asrama sekolah tersebut.

Satu rakaman video menunjukkan gajah tersebut berkeliaran di kawasan kantin sekolah itu tular di media sosial selepas dirakam seorang orang awam yang berada di lokais berkenaan.

Video berdurasi 30 saat itu menyaksikan gajah tersebut berjalan masuk ke dalam ruang makan asrama di sekolah tersebut sebelum berlalu pergi ke kawasan lain.

Menurut Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan V Shivananthan, tiada individu dilaporkan cedera selepas kejadian tersebut dan anggota polis juga dihantar ke lokasi tersebut bagi membantu pihak sekolah dan melakukan pemantauan.

“Berdasarkan laporan, kejadian gajah masuk ke kawasan asrama itu sudah beberapa kali,” katanya yang turut mengesahkan kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 6 pagi kelmarin.


Video tersebut juga mendapat reaksi yang pelbagai dari netizen dengan rata-rata daripada mereka merasakan bahawa perkara tersebut terjadi disebabkan habitat semula jadi gajah itu telah diganggu manusia tidak bertanggungjawab.

“Bila manusia buat pembangunan dikawasan binatang liar. Binatang masuk kawasan manusia, rosakkan barang,” tulis salah seorang pengguna di ruangan komen.

Menurut seorang pengguna Facebook, gajah tersebut sebenarnya ingin memupuk kesedaran kepada para pelajar tentang pentingnya menjaga alam sekitar.

“Sebelum start sesi persekolahan, beliau (gajah) nak beri perbahasan yang bertajuk “Sayangilah Flora Dan Fauna Kita” kepada murid supaya dapat memupuk kesedaran tentang pentingnya pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar,” tulis seorang pengguna bernama Saiful Zaim.


Seorang lagi pengguna secara berseloroh mengatakan bahawa keadaan tersebut berlaku selepas gajah tersebut terkesan dengan program Transformasi Negara 2050 (TN50) yang disiarkan di televisyen semalam.

“Semenjak DS Najib Razak memperkenalkan TN50 semalam, gajah pun dah reti nak pergi sekolah sekarang. Adik-adik yang malas nak pergi sekolah tu malu la sikit,” kata Mirul Amin

Ketika ini, kawasan Telupid sedang dilanda konflik berkenaan haiwan liar tersebut selepas sekumpulan gajah ‘menyerang’ Balai Polis Telupid beberapa hari lalu.

Dalam kejadian yang berlaku kelmarin, sejumlah 10 ekor gajah memasuki kawasan balai polis tersebut selepas merosakkan pagar.

“Ketika itu, sekumpulan 10 gajah berada di luar pagar balai dan berdasarkan pemerhatian, tiga daripadanya anak gajah, manakala selebihnya gajah dewasa dan kelihatan beberapa ekor pula dipercayai ibu gajah yang sangat agresif dengan melanggar pagar dawai balai,” kata Shivananthan. memetik BH Online.

Tambahnya, kejadian tersebut dilihat semakin menjadi-jadi kebelakangan ini terutama di kawasan Telupid.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga sebelum ini berkata, lima ekor gajah telah ditangkap selepas berkeliaran di daerah tersebut dan dipindahkan ke Hutan Simpan Imbak, Isnin lalu.

Sejak Januari lalu, lebih daripada 20 gajah dikesan berkeliaran di sekitar enam lokasi berdekatan kawasan tersebut. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com