'Sedekah Tak Akan Buat Kita Miskin'- Pemilik Gerai Roti Canai 50 Sen


JOHOR BAHRU - Gerai roti canai 50 sen di Taman Tampoi Utama, dekat sini kekal pada harga itu sejak 20 tahun lalu, selain menggunakan konsep layan diri dan mampu terjual hingga 800 keping sehari.

Turut menjadi tarikan ialah semua jenis minuman dijual pada harga RM1, menyebabkan pelanggan tidak pernah berkurangan.

Pengusaha gerai, Madi Umar, 57, mengakui keuntungan bukan matlamat utamanya, sebaliknya lebih kepada menerapkan konsep sentiasa bersedekah ketika mencari rezeki bagi mendapat keberkatan untuk perniagaan bertahan lama.

"Sedekah tidak menjadikan kita miskin, malah dengan sedekah rezeki akan berterusan, Insya-Allah," katanya ketika ditemui di gerainya di Taman Tampoi Utama di sini.

Formula sedekah yang diamalkan anak jati FELDA Taib Andak, Kulai itu membolehkan perniagaan diusahakan lebih 20 tahun lalu bertahan, malah tidak menang tangan menerima kunjungan pelanggan setiap hari.

Madi yang mesra disapa Edi tidak menjadikan isu kenaikan kos bahan mentah sebagai alasan menaikkan harga makanan dan minuman.

"Cara saya mudah, kalau nak rezeki berterusan, kita perlu banyakkan sedekah jariah, malah kalau pelanggan beli lain, saya akan lebihkan yang lain.

"Saya nampak kesan formula sedekah itu terutama dari segi kesenangan, kelapangan dan berkatnya.

"Sikit tetapi cukup, Alhamdulillah," katanya mengendalikan gerai bersama isteri, Tuti Warni Nadar, 48, dan dua pembantu.

Edi menghasilkan antara 600 hingga 800 doh roti canai setiap hari bagi memenuhi permintaan pelanggan.

"Rutin harian bermula pada jam 11 malam dan tempoh dua hingga tiga jam diperlukan untuk melembutkan doh roti canai, membabitkan 30 hingga 40 kilogram tepung gandum.

"Tugasan bersambung pada jam 6.30 pagi hingga 12 tengah hari dengan pelanggan meningkat pada hujung minggu dari Jumaat hingga Ahad," katanya.

Beliau berkata, nama gerai roti canai 50 sen lebih dikenali berbanding dirinya walaupun sudah berpuluh tahun terbabit dalam bidang itu.

"Nama saya orang tak tahu tapi roti canai 50 sen semua kenal," kata bapa kepada tiga cahaya mata berusia antara 14 hingga 28 tahun itu.

Edi mula bekerja di sebuah restoran sekitar 1980-an dan beliau kerap menebar lebihan doh roti canai untuk memahirkan diri.

Katanya, ilmu yang dipelajari dalam tempoh sebulan menjadi pendorong untuk berniaga di gerai nasi campur milik bapa saudara di Jalan Tampoi.

"Sejak 1997 hingga kini, perniagaan ini bertahan dan ia terus mendapat perhatian pelanggan.

"Gerai saya turut dikunjungi pelancong dari Singapura dan Brunei yang tertarik dengan murtabak berharga RM2 sekeping," katanya yang tidak berniaga setiap Isnin dan Selasa.

Edi nekad mengekalkan harga itu kerana percaya pada rezeki.

"Dalam berniaga, hati mesti bersih, sabar, hormat pelanggan da selain diselangi usaha.

"Selain itu, kita mesti selalu berdoa dan menjaga solat lima waktu," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com