Seberat 152 Kilogram, Kerapu Gergasi Berjaya Ditangkap Nelayan P.Pinang


REZEKI… Seekor ikan kerapu gergasi seberat 152 kilogram (kg) menjadi tumpuan ramai setelah berjaya ditangkap oleh sekumpulan nelayan di Pulau Pinang pada Selasa lalu.

Lapor portal mStar Online, orang ramai yang berkunjung ke Pasar Lebuh Cecil di George Town berasa amat takjub melihat ikan gergasi sebesar itu.

Menurut seorang nelayan, Khor Swee Boon, 48, ikan kerapu tersebut malahan memerlukan empat orang lelaki mengangkat hidupan laut tersebut untuk diletakkan di pasar.

“Ini adalah ikan paling besar berjaya ditangkap tahun ini. Saya tidak mengukur panjangnya tetapi ia mungkin mencecah sehingga 1.8 meter,” katanya.


Swee yang mempunyai pengalaman selama 30 tahun menjadi nelayan memberitahu tangkapan tersebut telah dijual kepada pemilik Kafe Ka Bee, Chew Kean Ghee, 46 di Pengkalan Weld dengan harga RM7,600.

Ikan tersebut atau lebih dikenali sebagai sebagai ‘loong tan’ dalam kalangan masyarakat Cina, kemudian dipotong terlebih dahulu sebelum diserahkan kepada pembeli berkenaan.

Terdahulu, Swee pernah berjaya menangkap ikan kerapu gergasi seberat 200 kg lalu menjualnya dengan harga RM11,000 kepada restoran Chew Jetty pada Januari 2014. –Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com