Sebar Gambar Lucah Bekas Kekasih Lepas Putus Cinta


AKIBAT kecewa selepas putus cinta, seorang pengurus restoran sanggup menyebarkan gambar lucah bekas kekasihnya yang kini bertugas sebagai doktor di tiga laman blog, tiga tahun lalu.

Akibat perbuatan itu, lelaki berkenaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini selepas bekas teman wanitanya itu membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Tertuduh Mohammad Khairul Abidin Abdul Rahim, 34, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Haldar Abdul Aziz.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara sedar memulakan penghantaran komunikasi bersifat lucah dengan niat untuk menganiayai pengadu.

Dia didakwa memuat naik kandungan lucah di dalam laman blog menggunakan aplikasi Blogspot dan Wordpress mulai 16 Jun hingga 4 Julai 2015.

Perkara itu disedari pengadu yang terbaca kandungan itu di sebuah rumah di Chendering, Kuala Terengganu pada 3 Ogos tahun sama sebelum membuat aduan kepada SKMM.

Mohammad Khairul Abidin didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan sabit kesalahan boleh dihukum setahun penjara atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Mohamad Haldar membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dan mahkamah menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu pengadu serta saksi pendakwaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria, manakala tertuduh diwakili peguam Zul Basyar.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 15 April depan.

Sumber: Metro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com