"Saya Rasa Seronok Datang Ke Sini.." - PM


PADANG TERAP - Perdana Menteri hari ini menyatakan penghargaan beliau yang tidak terhingga kepada masyarakat Siam di Kedah ekoran pendirian mereka yang begitu setia menyokong Barisan Nasional (BN) selama ini.

Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata, beliau amat berharap agar masyarakat Siam di negeri ini akan terus memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

"Kita menghargai sokongan padu masyarakat Siam di kawasan ini. Saya tengok yang datang ini rata-ratanya semua penyokong-penyokong tegar kepada Barisan Nasional. Bila saya salam tadi pun, saya rasa 'current-current' Barisan Nasional.

"Saya rasa seronok datang ke sini (Padang Terap)," kata Perdana Menteri kepada ribuan masyarakat Siam yang hadir di sini, petang tadi.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Padang Terap, Dato' Seri Mahdzir Khalid ketika berucap menjelaskan tentang kesetiaan masyarakat Siam di negeri ini terhadap BN dan amat membantu kemenangan parti berkenaan sepanjang 13 kali pilihan raya berlangsung di negara ini.


Malah kenyataan Menteri Pendidikan itu turut disahkan oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkenaan masyarakat Siam yang merupakan antara penyebab utama kemenangan BN pada PRU ke-13 yang lalu.

Ahmad Bashah berkata, kemenangan BN di Kedah adalah amat perlu bagi memastikan negeri ini adalah sama Kerajaan Persekutuan yang dijangka bakal dimenangi BN dengan majoriti lebih selesa pada PRU ke-14.

Ia adalah bagi menjamin rakyat di negeri ini terus mendapat faedah daripada Kerajaan Pusat yang sebelum ini banyak membantu Kerajaan Negeri Kedah membangunkan negeri jelapang padi dengan lebih agresif dan tersusun.

Ahmad Bashah turut meminta agar rakyat di negeri ini supaya mengambil iktibar daripada tempoh 5 tahun BN menjadi pembangkang di negeri Kedah yang mengakibatkan banyak pembangunan terbantut, termasuk masalah bekalan air. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com