Salman Pecat Ketua, Pegawai Kanan Tentera


RIYADH – Putera Mahkota Arab Saudi, Raja Salman, memecat ketua turus tentera dan beberapa komander kanan lain dalam tindakan mengejutkan namun tidak diketahui sebabnya.

Menurut laporan media kerajaan Arab Saudi kelmarin, beberapa dekri diraja dikeluarkan lewat Isnin (waktu tempatan) menyatakan ketua tentera darat serta udara, selain pegawai kanan dalam kementerian dalam negeri diganti.

Tiada sebab rasmi diberikan untuk tindakan itu, namun Arab Saudi ketika ini mengetuai negara Arab yang terbabit dalam perang di Yaman terhadap pemberontak Houthi disokong Iran yang kini menghampiri tahun keempat.

Agensi berita rasmi Saudi Press Agency (SPA) menyebut: “Perkhidmatan Jeneral Abdul Rahman Saleh al-Bunyan, Ketua Turus, ditamatkan dengan Fayyad al-Ruwaili dilantik menggantikannya.”

Pemecatan Abdul Rahman yang mengejutkan itu berlaku selepas beliau minggu ini merasmikan pameran besar oleh Saudi Arabian Military Industries (SAMI), syarikat pertahanan milik kerajaan yang mengetengahkan usaha berterusan pembaharuan dalam sektor berkenaan.

Selain itu, Salman mengumumkan pelantikan penjawat awam termasuk seorang wanita, Tamadar Yousef al-Ramah sebagai Timbalan Menteri Buruh dan Pembangunan Sosial serta Putera Turki Talal – adik bilionair, Putera Al-Waleed Talal yang disiasat rasuah sebelum ini, sebagai timbalan gabenor wilayah Assir.

Sumber – Reuters

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com