Rutin Bercakap Dengan Pokok Berakhir...


PENIAGA wanita berusia 44 tahun maut dihempap pokok asam jawa sebesar pemeluk orang dewasa ketika berniaga di pasar pagi di Balai Baru, Beseri, Padang Besar, 11.45 pagi semalam.

Mangsa, Chok Ai Yee maut di dalam khemah gerai pakaiannya selepas parah di kepala dan anggota badan akibat dihempap pokok setinggi lima meter yang terdapat di belakang premis perniagaannya.

Suami mangsa, Loh Kon Wha, 46, berkata, ketika kejadian mereka sedang berkemas untuk pulang sesudah tamat berniaga di pasar pagi berkenaan.

"Ketika kejadian, saya baru selesai melayan pelanggan yang berkunjung ke khemah pakaian diusahakan kami sejak sembilan tahun lalu.

"Kami bercadang untuk berkemas dan isteri sedang mengangkat pakaian untuk dimasukkan ke dalam van sebelum tiba-tiba saya lihat isteri seperti menutup kepalanya seolah-olah dia mengetahui pokok di belakang khemah akan menghempapnya.

"Pokok berkenaan jatuh menghempap isteri di dalam khemah manakala saya sempat lari keluar sebelum orang ramai datang mengalihkan pokok itu untuk mengeluarkan isteri," katanya ketika ditemui di bilik mayat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), 3 petang semalam.

Loh berkata, isterinya tidak menunjukkan sebarang tanda ganjil dan tidak menyangka wanita itu meninggal dunia dalam keadaan sedemikian.

“Isteri sempat menyiapkan sarapan untuk kami sekeluarga pagi tadi sebelum kami bergerak ke tapak pasar pagi bagi memulakan perniagaan.

"Malah, rutin hariannya iaitu bercakap pada pokok berkenaan setiap kali memulakan perniagaan sempat dilakukannya pagi tadi," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Deputi Superintendan Muhamad Halim Yatim ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) memandangkan tiada unsur jenayah di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.

Sumber: Metro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com