Rumah 2 Beradik Warga Emas Di Alor Setar Hampir Roboh Mohon Bantuan


ALOR SETAR - Dua beradik warga emas terpaksa menumpang teduh di rumah pusaka keluarga yang usang dan hampir roboh di Alor Semela Barat, Jalan Datuk Kumbar di sini.

Ku Munah Ku Ahmad, 82, dan adik perempuannya, Ku Puteh, 80, dijaga anak saudara, Wan Mohd Sobri Ismail, 50, yang bekerja kampung.

Menurut Munah, mereka tinggal bertiga selepas kematian adik dan anak lelakinya, sementara ahli keluarga lain menetap di tempat lain dan mempunyai tanggungan masing-masing.

“Dahulu, masa adik dan anak mak cik masih ada kami senang sikit. Sekarang, kami hanya bergantung kepada pendapatan anak saudara yang tidak menentu sekitar RM500 sebulan.

“Kadang-kadang pendapatan dia kurang daripada itu, sebab dia bergantung kepada kerja. Orang panggil adalah, kalau tak panggil tak dak,” katanya memetik Sinar Online.

Katanya, pendapatan anak saudara itu bagaimanapun tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian, apa lagi untuk perbelanjaan lain, seperti membaiki kerosakan rumah.

Jelasnya, rumah kayu didiami mereka, berusia hampir 60 tahun dan makin usang dimamah anai-anai.

“Ada dinding terpelahang, ada lantai rosak sampai nak jalan pun takut. Itu belum alang, dinding dan tiang rumah yang dimakan anai-anai,” ujarnya.

Kata Puteh pula, dia dan kakaknya selalu melarikan diri ke tempat selamat setiap kali mendengar angin kencang di luar rumah mereka kerana bimbang ditimpa kayu alang.

“Dengar bunyi angin saja, mak cik sudah takut sebab rumah dah lama dari zaman ayah lagi. Dulu, adik nak bina rumah baru kat kami, tapi belum siap dia sudah meinggal dunia,” katanya.

Dia berharap ada pihak tampil membantu membaiki kerosakan rumah ataupun membina semula rumah untuk menumpang teduh dari panas dan hujan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com