Rezeki Petani Di Pedu Padi Berbuah Dua Kali


ALOR SETAR - Bagaikan durian runtuh, para petani di sekitar Kampung  Bukit Baling dan Kampung Padang Setol di Pedu bersyukur kerana mendapat bonus selepas pokok padi mereka berbuah kali kedua sejak akhir-akhir ini.

Apa yang difahamkan, pokok padi berbuah semula selepas aktiviti menuai beberapa bulan lalu sehingga menyebabkan petani di kampung itu turun semula bagi mengambilnya.

Menurut Azizah Salleh, 71, dari Kampung Musa, semenjak menjadi petani 50 tahun lalu, dirinya sendiri bagaikan tidak percaya melihat pokok padinya yang dituai pada Januari lalu berbuah kembali.

Katanya, sebelum ini pernah pokok padi yang dituai di kawasan itu berbuah tetapi tidak berisi dan menyebabkan petani biar begitu sahaja.

“Bagaimanapun, kali ini pokok padi itu isinya padat dan tumbuh di seluruh sawah di kampung itu. Ini menyebabkan petani yang sudah mengambil padi mereka terpaksa turun sekali lagi untuk ambilnya.

“Di kawasan ini semasa musim menuai padi akan dituai dengan mesin dan jika ada padi yang tumpah akan tumbuh semula tetapi tidak banyak. Bagaimanapun pada kali ini agak pelik pokok yang dituai boleh tumbuh mengeluarkan padi semula,” katanya yang berjaya mendapat 180kg padi.

Menurut Azizah, walaupun hasil padi itu tidak banyak seperti menuai pada kali pertama tetapi itu sudah cukup untuk dihantar ke kilang.

Halimah Saad, 57, berkata, rata-rata petani di situ terkejut dengan perkara ajaib dan rezeki yang diberi ALLAH itu. Mereka juga terpaksa membeli pisau mengerat padi untuk mengambil padi kali kedua.

Katanya, boleh dikatakan hampir 35 hektar sawah di situ berbuah semula dan ini menyebabkan petani terutama golongan wanita turun untuk menuai pada waktu petang.

“Pada mulanya saya tak percaya apabila dimaklumkan oleh jiran, tapi selepas melihat sendiri, memang betul padi yang dituai dua bulan lalu, berbuah semula.

“Boleh dikatakan setiap petang semua pesawah di situ akan turun untuk ambil padi mereka dengan cara mengerat seperti yang diamalkan generasi dahulu. Ini secara tidak langsung mengembalikan nostalgia nenek moyang kami turun mengerat padi beramai-ramai,” katanya.

Menurut Halimah, apa yang melucukan, pisau mengerat padi yang dahulunya digunakan nenek moyang terpaksa digunakan semula.

“Saya terpaksa pergi beli semula di kedai dan nasib baiklah masih ada lagi dalam simpanan milik pekedai sekarang ini,” katanya yang mendapat 250kg padi. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com