Restoran Cef Dari Ipoh Dapat Bintang Michelin


CEF kelahiran Malaysia sememangnya sedang menyinar dalam industri kulinari antarabangsa.

Baru-baru ini, restoran Pertinence milik cef berasal dari Ipoh, Kwen Liew dan suaminya yang berasal dari Jepun, Ryunosuke Naito telah dianugerahkan bintang Michelin di dalam buku panduan Michelin Perancis 2018.

Buku panduan yang dikenali sebagai ‘kitab Injil kulinari’ itu telah mengiktiraf Kwen Liew dan Naito dengan menyebut kisah kejayaan mereka sebagai “satu kisah dua cef Asia yang layak menerima bintang Michelin pertama mereka.”

“Naito amat berhati-hati dan cekap mengubah bahan-bahan segar dari pasar menjadi hidangan klasik Perancis yang enak, dengan memberikan nafas yang baru dan ‘segar’ dalam cara penyediaan hidangannya,” tambah Michelin lagi.


Kwen Liew dipercayai menjadi cef wanita Malaysia pertama yang memenangi bintang Michelin.

Terletak di Paris, Pertinence dibuka pada Mac 2017 dan telah memenangi hati pengkritik makanan oleh kerana hidangan yang lazat serta perkhidmatan yang bagus restoran tersebut.

Hidangan di Pertinence dikatakan unik oleh kerana mereka mengekalkan citarasa santapan tradisional Perancis dengan menggunakan teknik penyediaan Jepun.

Terdapat 57 buah restoran baru yang dimasukkan ke dalam senarai panduan Michelin Perancis 2018, menjadikan angka keseluruhan restoran yang mempunyai bintang tersebut sebanyak 621.


Mula diperkenalkan pada tahun 1900, pandua Michelin ini menganugerahkan restoran menggunakan model tiga-bintang: bintang pertama menandakan restoran tersebut “sangat bagus”; bintang kedua, “hidangan menakjubkan”; dan bintang ketiga pula menunjukkan hidangan makanan di restoran itu “amat menyelerakan dan istimewa.”

Tahniah buat seorang lagi anak Malaysia yang berjaya membuktik kemampuannya di luar negara dan bekerja keras untuk mencapai cita-cita murninya! - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com