Remaja Jitra Usia 13 Tahun Hamil Dirogol Teman Lelaki


ALOR SETAR - Perbuatan rakus seorang remaja lelaki berusia 16 tahun membawa kepada penahanannya oleh pihak polis pada Selasa lalu kerana disyaki merogol teman wanitanya yang baru sahaja berusia 13 tahun sehingga hamil.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, suspek dipercayai seorang penuntut di sebuah pusat kemahiran di daerah ini dan dikatakan tinggal di kawasan perumahan yang sama dengan mangsa.

“Polis menerima panggilan daripada seorang doktor wanita dari sebuah klinik kesihatan di Bukit Kayu Hitam pada jam 3.45 petang memaklumkan hasil pemeriksaan terhadap mangsa mendapati dia hamil 26 minggu,” katanya ketika majlis sambutan Hari Polis ke-211 di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, semalam.

Difahamkan bahawa mangsa datang ke klinik terbabit bersama-sama keluarga dan teman lelakinya bagi menjalani pemeriksaan.

“Bagaimanapun doktor yang mengesyaki sesuatu mencurigakan kemudian menghubungi Balai Polis Bukit Kayu Hitam bagi makluman dan merujuk pesakit ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tambah Mohd Ismail, hasil daripada pendedahan mangsa membongkarkan dia mengandung hasil hubungan dengan teman lelakinya yang dikenali sejak tiga tahun lalu.

“Selain itu, mangsa juga didakwa pernah beberapa kali melakukan hubungan di rumahnya ketika ibu bapanya tiada di rumah.

“Berikutan itu, polis menahan suspek lelaki pada hari laporan diterima dan direman lima hari sehingga semalam.

“Mangsa dikatakan mengandung pada Disember 2017 dan keluarganya juga dikatakan sudah berbincang dan bersetuju untuk mengahwinkan mereka dengan segera,” katanya.

Terdahulu, seramai 75 anggota dan pegawai serta orang awam menerima sijil dan surat penghargaan termasuk polis dan Imigresen Thailand yang disampaikan Mohd Ismail. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com