Ramon Marcote 'Disingkirkan' Nidzam Pangku Jawatan Ketua Jurulatih Kedah


ALOR SETAR – Ketua Jurulatih Pasukan Kedah, Ramon Marcote sebelum ini disingkirkan dari jawatan tersebut dan digantikan dengan Penolong jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusof, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Yusdi Madeinus Mohamad Yunus menjelaskan, Marcote tidak disingkirkan sepenuhnya, sebaliknya diberikan peranan baharu sebagai Ketua Jurulatih Pembangunan KFA.

Ini bertujuan bagi Marcote memantau projek pembangunan bola sepak sedia ada serta merangka persediaan skuad Hijau Kuning bagi tempoh jangka panjang.

“Keputusan itu diambil selepas pihak pengurusan mendapat maklum balas teknikal daripada semua pihak mengenai kelebihan pengalaman dan tahap kelulusan beliau (Marcote) dalam bidang sains sukan dan kejurulatihan bola sepak yang boleh dimanfaatkan semua pemain dan jurulatih di negeri ini.

“Antara sasaran jangka pendek buat Ramon Marcote adalah melihat kembali struktur kejurulatihan semua pasukan di bawah kendalian KFA dan merangka program latihan di samping memantau perkembangan pemain dalam menyediakan pasukan pada musim hadapan,” katanya dalam kenyataan malam semalam.

Pihak KFA yakin langkah yang diambil tersebut adalah yang terbaik dan dipersetujui kedua-dua pihak setelah satu perbincangan diadakan antara Marcote dan pihak pengurusan KFA. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com