Rakyat Malaysia Salah Sangka Kanak-Kanak Ini Timah Yang Pandai Cakap Kelantan


PETALING JAYA - Kemunculan kanak-kanak cilik, 'Fatimah' yang popular kerana fasih 'kecek Kelate' di ibu negara baru-baru ini telah mengelirukan para peminatnya.

Kelibatnya di beberapa pusat beli-belah di sekitar Lembah Klang telah mencuri tumpuan orang awam yang menyangka mereka akhirnya dapat bertemu empat mata dengan personaliti Instagram cilik yang menetap di Birmingham, United Kingdom itu.

Rupa-rupanya, kanak-kanak perempuan yang disangka Fatimah Omar Mukhlis atau Timoh, 4, itu sebenarnya adalah Nahrain Elizabeth Awanis yang memiliki wajah seakan sama dengan 'The Little Miss Diva' tersebut.

Nahrain Elizabeth Awanis, 2, juga memiliki darah kacukan Melayu di sebelah ibunya dan bapanya pula adalah warga Britain berketurunan Iraq.

"Orang mula menegur Nahrain ketika suami saya membawanya ke sebuah bank pada hujung tahun lalu dan mereka mula memanggilnya Fatimah.

"Suami yang ketika itu masih belum mengenali Fatimah kelihatan terpinga-pinga dan pelik apabila orang lain memanggil anak kami dengan nama lain. Sejak itu, semakin ramai yang menyamakan dia dengan Fatimah," katanya ibunya Sarah Abdul Sukor kepada mStar Online, Selasa.


Sarah, 39, berkata dia dan suami sebelum ini menentap di London selama 10 tahun dan mengenali Fatimah menerusi Instagram.

Bagaimanapun mereka sekeluarga telah berpindah semula ke Malaysia pada November tahun lalu.

Menurut juruukur bahan berkenaan, anak perempuannya yang berusia hampir tiga tahun itu juga berasa hairan apabila dipanggil dengan nama Fatimah ketika mereka sekeluarga keluar bersiar-siar di pusat beli-belah, namun mengakui sudah semakin biasa dengan situasi tersebut.

"Anak saya juga 'bubbly' seperti Fatimah, namun dia belum fasih bertutur bahasa Melayu... cuma pandai sebut beberapa perkataan yang mudah seperti makan, tidur dan lapar.


"Tetapi, secara peribadi, saya rasa ia agak lucu ketika kali pertama berdepan situasi seperti ini dan sebenarnya wajah mereka tidaklah terlalu seiras," kata wanita yang berasal dari Kluang, Johor itu.

Fatimah pernah tular beberapa kali gara-gara gelagatnya bersama adik lelakinya Ali yang mencuit hati selain petah bertutur dialek Kelantan dan bahasa Inggeris.

Keletah mereka sering mencuri tumpuan netizen menerusi video-video yang dimuat naik menerusi laman Instagram @thefamily.uk yang kini sudah memiliki lebih 454,000 pengikut.

Sumber: Mstar Online

        

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com