Pulau Pangkor Bakal Jadi Pulau Bebas Cukai Suku Ketiga 2018


IPOH - Pelaksanaan ke arah menjadikan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai seperti diumum pada Bajet 2018, dijangka bermula seawal suku ketiga tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata beberapa mesyuarat peringkat negeri dan pusat membabitkan semua pihak terbabit dalam pelaksanaannya giat dijalankan, terutama ke arah penyediaan prasarana merealisasikan usaha itu.

"Kita jangkakan ia dibuka pada suku ketiga tahun ini, namun ia bergantung kepada perbincangan dan beberapa perjanjian yang akan ditandatangani manakala fokus ketika ini banyak membabitkan logistik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di pejabatnya di sini, semalam.

Zambry berkata, perkara itu mengambil sedikit masa kerana usaha menjadikan sesuatu kawasan lokasi bebas cukai bukan mudah.

"Ia memerlukan perincian seperti menentukan lokasi pemeriksaan dan barang larangan serta jualan.

"Begitu juga keperluan logistik yang tidak hanya membabitkan Jabatan Kastam Diraja, tetapi juga beberapa jabatan berkaitan.

"Kita memberi perhatian hal ini dan perbincangan sudah dibuat untuk menentukan lokasi bersesuaian," katanya.


Ketika membentangkan Bajet 2018 tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengisytiharkan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai tetapi pengecualian cukai tidak termasuk minuman keras, rokok dan kenderaan bermotor.

Zambry berkata, turut dibincangkan beberapa aspek teknikal yang diperhalusi, termasuk tempoh menginap yang dibenarkan untuk pelancong membeli barangan bebas cukai di pulau berkenaan.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com