PRU14: Tiga Dun Kuala Kedah Rebutan Sengit PAS, Pakatan Harapan


ALOR SETAR - Ketiga-tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang terletak di dalam Parlimen Kuala Kedah dijangka bakal menyaksikan pertembungan sengit di antara PAS dan parti serpihannya, Parti Amanah Negara (PAN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Dun Anak Bukit dan Pengkalan Kundor yang dimenangi oleh PAS pada PRU ke-13 yang lalu, kini menjadi milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PAN, manakala Dun Kubang Rotan pula dilihat berpotensi untuk dirampas Pakatan Harapan.


Sebelum ini, Dato' Phahrolrazi Zawawi memenangi kerusi Dun Pengkalan Kundor manakala  Dato' Amiruddin Hamzah pula memenangi kerusi Dun Anak Bukit ketika keduanya bertanding mewakili PAS pada PRU ke-13 yang lalu.

Namun begitu, Phahrolrazi kemudiannya menyertai Parti Amanah Negara (PAN) yang diterajui sahabat baiknya, Mohamad Sabu.


Manakala Amiruddin pula kemudiannya meninggalkan PAS untuk menyertai PPBM untuk bersama sahabatnya yang juga Pengerusi PPBM Kedah, Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Malah, kedudukan Adun Kubang Rotan, Nasir Mustafa yang sebelum ini digembar-gemburkan bakal meninggalkan PAS menjelang PRU ke-14 juga menyebabkan kerusi Dun yang disandangnya itu bakal menjadi tumpuan.


Walau bagaimanapun, difahamkan bahawa PAN memiliki pengaruh yang agak besar berbanding PAS di Parlimen Kuala Kedah ekoran parti itu bakal dibantu oleh PKR dan Mukhriz sendiri selaku Pengerusi Pakatan Harapan Kedah.

Namun begitu, PAS dijangka tidak akan memberi laluan mudah kepada Pakatan Harapan di kerusi-kerusi berkenaan dan yakin mampu merampas kembali kerusi yang "dilarikan" itu pada PRU ke-14 yang dijangka berlangsung tidak lama lagi. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com