PRU14: Hanya "Biru" Dan "Hijau" Sahaja Di Kedah


ALOR SETAR - Tidak dapat dinafikan bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang dijangka berlangsung tidak lama lagi amat dinanti-nantikan oleh setiap pengundi di negeri Jelapang Padi ini.

Bahang pilihan raya terasa di mana-mana dan rata-ratanya berbicara hangat tentang pilihan masing-masing sama ada di gerai-gerai kopi di tepi jalan hinggalah di "coffee house" dan lobi hotel terkemuka di negeri ini.

Sebanyak 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan 15 kerusi Parlimen bakal dipertandingkan di negeri Kedah yang pastinya mengundang persaingan tiga penjuru antara tiga blok politik utama, Barisan Nasional (BN), Gagasan Sejahtera dan Pakatan Harapan.

Malah kehangatan pilihan raya di negeri Kedah pasti menjadi fokus menarik apabila salah satu kerusi Parlimennya dijangka bakal ditandingi Tun Dr Mahathir Mohamad dalam usaha untuk kembali menjadi Perdana Menteri buat kali kedua pada usia 93 tahun.

Kemenangan majoriti mudah BN pada PRU ke-13 yang lalu menyaksikan negeri Kedah menjadi sasaran untuk dikuasai parti pembangkang dan menarik perhatian umum pada PRU ke-14 nanti.

Namun begitu, bagi Exco Kerajaan Negeri, Dato' Suraya Yaacob, beliau melihat bahawa di sebalik kehangatan menjelang pilihan raya itu, hanya dua buah parti sahaja yang dianggap relevan dan mendapat tempat di hati orang Kedah, iaitu UMNO dan PAS.

Kata Suraya, beliau lebih bimbangkan kemampuan PAS di negeri ini ekoran parti itu terbukti sebelum ini pernah menewaskan Barisan Nasional (BN) pada PRU ke-13, pertama kali dalam sejarah politik negeri Kedah.

"Ramai yang bertanya sama ada saya bimbang atau tidak. Sebenarnya saya sangat bimbang. Tapi bukan bimbangkan PAN (Parti Amanah Negara) atau Bunga (Parti Pribumi Bersatu Malaysia - PPBM), tapi saya bimbangkan PAS.

"Jika kita mengenali politik Kedah, maka kita akan dapati majoriti orang Kedah hanya dapat terima  antara UMNO dan PAS sahaja. Maka sebab itu saya lebih serius memberi perhatian kepada PAS," kata Suraya yang lebih mesra disapa dengan panggilan "Kak Su" itu.

Menurut Kak Su, hanya UMNO dan PAS sahaja di negeri ini yang memiliki jaringan luas dan mempunyai jentera politik akar umbi yang lebih aktif, tersusun dan menjadi pilihan utama orang Kedah.

Meskipun tidak menafikan kempen agresif yang dipaparkan pemimpin Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), namun amat jelas untuk dilihat pengaruh "Biru" dan "Hijau" yang lebih menguasai keseluruhan kawasan di serata negeri ini.

Malah menjadi kebiasaan untuk melihat PAS mempamerkan kekuatan akar umbinya menerusi beberapa buah rumah yang dicat dengan warna hijau, termasuk di bahagian bumbung, terutama jika berkunjung ke Baling, Sik dan banyak lagi di daerah lain.

Hakikat yang tidak boleh dinafikan, Kedah merupakan negeri yang memiliki keahlian PAS paling ramai dengan 170,000 ahli dan realitinya tidak dapat disangkal bahawa parti itu merupakan pencabar BN terkuat di negeri ini.

Menurut Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurrazi, beliau menjelaskan bahawa hanya 3 peratus sahaja daripada anggota PAS yang keluar parti dan menyertai PAN, namun menegaskan ia tidak memberi kesan signifikan kepada parti itu.

Beliau turut mengumumkan bahawa Gagasan Sejahtera Kedah akan bertanding di semua 15 kerusi Parlimen dan 36 Dun di Kedah pada PRU ke-14 nanti, serta tidak gentar untuk bertembung dengan Pakatan Harapan yang diketuai Mukhriz.

Selaku Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah pertama yang memiliki PhD, Dr Ahmad Fakhruddin yakin dengan kemampuan PAS yang mengetuai Gagasan Sejahtera untuk sekali lagi mencipta kemenangan di negeri Kedah sebagaimana yang dikecapi pada PRU ke-12 lalu.

Malah beliau turut menyifatkan "tilikan" yang konon dihasilkan daripada kajian Invoke oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, sebelum ini hanyalah satu propaganda politik yang bersifat "syok sendiri" sahaja, tidak lebih dari itu.

Mengulas mengenai Tun Dr Mahathir Mohamad yang dicalonkan sebagai Perdana Menteri "sementara" bagi Pakatan Harapan, Suraya mempunyai pandangan yang lebih realistik dan rasional mengenainya.

"Kita tidak nafikan, Tun M mempunyai ramai peminat dan ramai yang hormat padanya. Malah ada yang memuja beliau. Namun untuk kembali menjadi Perdana Menteri pada usia 93 tahun, lebih ramai yang tidak dapat menerima.

"Hakikatnya kini, lebih ramai yang beralih arah tidak setuju untuk Tun M kembali menjadi Perdana Menteri, khususnya golongan muda di negara ini," ujar beliau.

Di Kedah, ramai yang melihat bahawa Pakatan Harapan sedang bergelut untuk mencari momentum melalui kempen-kempen bagi mencetus publisiti, namun jelas mereka kekurangan akar umbi dan jentera yang ampuh berbanding UMNO dan PAS.

Hakikat itu turut diluahkan oleh Setiausaha Agung Pakatan Harapan, Dr Abdul Rahman Ahmad, sebelum ini yang mendakwa pihaknya terpaksa mempergunakan Mahathir untuk mempengaruhi pengundi di kawasan luar bandar.

"Kita perlukan Mahathir untuk mempengaruhi orang kampung. Namanya masih bernilai dan kesannya dapat dilihat jika kita edarkan risalah di kampung-kampung. Nama lain seperti Mat Sabu atau Wan Azizah tak berkesan," katanya sebelum ini.

Justeru itu, tidak hairanlah jika Pakatan Harapan terpaksa menggunakan strategi menempelkan wajah Mahathir, Dato' Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Mat Sabu dan beberapa pemimpin lain di papan-papan tanda gergasi di kawasan kampung di Kedah.

Bagi Suraya, sudah tentu kelibat Mahathir pada PRU ke-14 nanti tidak dipandang remeh oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, yang sudah tentu memiliki formula tertentu untuk mengatasi ancaman itu.

Meskipun berusia 93 tahun, Mahathir tetap dihormati atas segala sumbangannya selama menjadi Presiden UMNO sebelum ini, namun "aura" itu tidak akan menjadi penghalang kepada BN untuk terus kekal menjadi pilihan rakyat di negeri Kedah.

Sementara itu, meskipun menyedari kerusi Dun Sungai Tiang yang disandangnya sejak tiga penggal itu merupakan kubu kuat bagi UMNO dan BN, namun Kak Su berserah kepada Allah SWT setelah gigih membuktikan usaha beliau kepada penduduk di kawasan tersebut.

"Alhamdulillah, Allah dah amanahkan Dun Sungai Tiang ini untuk tiga penggal dan Kak Su dah buktikan khidmat Kak Su kepada rakyat di sini. Malah bukan saja di Sungai Tiang, di kawasan Pendang dan seluruh Kedah pun Kak Su cuba bantu sedaya upaya.

"Berat macam mana pun, Kak Su cuba berikan yang terbaik. Di Sungai Tiang ini contohnya, dah sebati dengan jiwa Kak Su, dah jadi macam keluarga besar. Melayu, Siam, Cina atau India kami bagaikan 'satu', sehati sejiwa," ujar beliau lagi.

Suraya pada PRU ke-13 yang lalu menang bergaya dengan mendapat sebanyak majoriti 6,994 undi, mengatasi calon PAS, Fadzil Baharum, selain dua calon Bebas, Rosli Omar dan Charean A/L Isen dari parti KITA yang kedua-duanya hilang deposit.

Disegani kawan dan lawan, Suraya turut dijangka kekal dicalonkan di kerusi Dun yang sama pada PRU ke-14 ini ekoran dari khidmat cemerlang beliau kepada penduduk Sungai Tiang, selain memainkan peranan besar sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com