Produk Pelancongan Iklim Sederhana Dirancang Di Puncak Gunung Raya Langkawi


ALOR SETAR – Langkawi yang sekian lama dikenali dengan keindahan alam semula jadi tropikanya bakal menawarkan produk pelancongan beriklim sederhana menerusi perancangan di kemuncak Gunung Raya, kemuncak tertinggi di pulau ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya Kedah, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid semalam berkata beberapa cadangan, termasuk memulakan penanaman strawberi dan bunga-bungaan, sedang dikaji bagi merancakkan lagi aktiviti pelancongan di gunung setinggi kira-kira 882 meter ini.

“Ada juga cadangan yang saya sudah sokong iaitu “paragliding sport” (sukan luncur udara) yang bermula dari puncak Gunung Raya dan mendarat di kawasan sekitar Ulu Melaka,” katanya dalam sidang media bagi mempromosikan acara Larian Gunung Raya di sini, semalam.

Jelasnya, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) yang dipertanggungjawabkan untuk meneliti cadangan-cadangan ini akan juga membaik pulih sebuah hotel yang terletak di kemuncak gunung kedua tertinggi di Kedah itu.

“(Dengan adanya hotel ini) kita dapat menawarkan kepada pelancong-pelancong satu pengalaman yang indah bermalam di puncak yang tertinggi di Langkawi,” katanya memetik Bernama.

Tambah Mohd Rawi yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Air Hangat berkata penganjuran Larian Gunung Raya oleh Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) pada 24 Mac ini akan dapat menggiatkan lagi promosi aktiviti pelancongan sukan di sekitar kawasan tanah tinggi ini.

Menurutnya acara yang disokong kerajaan negeri ini dijangka dapat menarik penyertaan kira-kira 1,800 pelari dari dalam dan luar negeri dengan menawarkan hadiah wang tunai melebihi RM10,000.

Selain menyediakan laluan yang mencabar, katanya acara ini akan dapat memberikan peluang bagi peserta untuk menikmati pemandangan yang indah dan keadaan cuaca yang lebih sejuk berbanding kawasan rendah di sekitar pulau ini.

“Yang penting bukannya menang atau kalah tetapi keseronokan berlari sambil menikmati pemandangan yang indah sepanjang perjalanan ke puncak gunung ini,” ujarnya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com