PPBM Yang Bermasalah, UMNO Pula Dipersalah Bagi Kelirukan Rakyat


Gagal menyelesaikan masalah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), UMNO pula yang dikaitkan bagi menutup kesalahan dan kelemahan pengurusan parti itu sendiri.

Sebagai bekas pemimpin utama negara, Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga bekas Timbalan Presiden UMNO tentunya tahu perkara asas sebelum hendak menubuhkan parti dan sebelum melaksanakan mesyuarat agung tahunan. 

Jika UMNO boleh mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), kenapa PPBM tidak boleh melakukan perkara yang sama?

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata cubaan kepemimpinan Pakatan Harapan diketuai DAP untuk menyamakan masalah dihadapi PPBM dengan isu dihadapi UMNO hanyalah atas satu tujuan iaitu bagi mengelirukan rakyat.

"Tindakan itu dilakukan bagi menggambarkan seolah-olah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan berada dalam 'genggaman' UMNO " kata Mahdzir yang juga Ahli Parlimen dan Ketua UMNO bahagian Padang Terap.

Kata beliau, isu yang dihadapi oleh PPBM dan UMNO  jauh berbeza.

Menurut Mahdzir PPBM gagal memenuhi syarat asas untuk melengkapkan pendaftaran partinya sedangkan UMNO tidak mempunyai sebarang masalah berhubung pendaftaran sama ada di peringkat cawangan, bahagian atau nasional.

Sebaliknya, kata Mahdzir UMNO hanya memohon penangguhan mesyuarat pemilihan yang sememangnya tidak bercanggah dengan sebarang syarat mahu pun peraturan.

"Kalau hendak daftar parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau persatuan apa sekali pun, mestilah ada syarat perlu dipenuhi, " katanya menyidir Dr. Mahathir.

Sebagai orang yang pernah memegang jawatan tertinggi dalam parti dan Kabinet, Dr. Mahathir dan  Muhyiddin Yassin sudah pasti tahu akan perkara ini tetapi mereka sengaja timbulkan isu untuk kelirukan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar ketika hadir ke Majlis Penyerahan  Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Dewan Tunku Putra, Kuala Nerang semalam.

Sebelum ini Bernama melaporkan notis pembubaran akan dikeluarkan terhadap PPBM jika parti itu gagal menjawab dan menyerahkan maklumat serta dokumen yang dikehendaki Jabatan Pendaftaran Pertubuhan  dalam tempoh 30 hari, berkuat kuasa 28 Februari lalu.

Ketua Pengarah ROS, Surayati Ibrahim berkata  walaupun keperluan minimum menurut Seksyen 14(3) Akta Pertubuhan adalah tujuh hari bagi memberikan maklum balas, jabatan itu memberikan tempoh masa yang lebih panjang iaitu 30 hari.

RoS telah menerima lebih 400 aduan daripada anggota PPBM yang antara lain mempertikaikan kesahihan mesyuarat agung tahunan parti itu Disember tahun lalu kerana didakwa tidak menurut perlembagaan yang dibuat oleh parti itu sendiri. - Kedahnews.com


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com