PPBM Dijangka Kalah Teruk Di Kedah?


Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dijangka mengalami kekalahan teruk di Kedah walaupun parti itu dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz.

Ramai percaya PPBM tidak mampu menembusi kubu Barisan Nasional (BN) Kedah terutama kawasan yang mempunyai pengundi Melayu yang setia kepada kerajaan.

Perpecahan yang berlaku dalam PAS dan pertandingan tiga penjuru menyukarkan PPBM untuk menang apatah lagi parti itu kini sedang menghadapi masalah besar tentang keahlian.

Pendirian Dr. Mahathir selaku Pengerusi PPBM dan Pengerusi Pakatan Harapan yang sentiasa berubah-ubah dan kini menyokong kuat DAP menyebabkan orang Melayu sukar menerima parti itu.

PPBM dan komponen parti dalam Pakatan Harapan juga belum berani untuk mengumumkan kawasan yang akan ditandingi, membuktikan pembangkang tidak yakin dapat menawan Kedah.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pula melihat pengundi kini bijak membezakan parti yang mampu menjamin masa depan rakyat dan negeri, malah tahu parti serpihan lebih bersifat tidak kekal.

Beliau yang juga Pengerusi BN Kedah berkata, pihaknya yakin kesetiaan rakyat terutama pengundi BN tidak mudah bertukar ganti.

"Pengundi setia BN tidak akan mudah bertukar (mengundi pembangkang) walaupun ada parti serpihan ini.

"Pengundi sedar pembangkang tak akan kekal kerana pembangkang tak boleh buat apa-apa kepada kawasan mahu pun negeri.

"Parti serpihan akan mati, seperti Parti Amanah Negara dari PAS, sama juga dengan Parti Pribumi Bersatu... mereka akan gagal," katanya.


Beliau ditemui pada program makan tengah hari dan ramah mesra bersama pengundi Cina sempena Jelajah Muafakat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun di Kampung Bharu Bedong, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Gurun.

Sementara itu Ahmad Bashah percaya pengundi bukan Melayu mula hilang keyakinan terhadap pembangkang selepas melihat keadaan yang berlaku di Pulau Pinang dan Selangor.

"Masyarakat kaum Cina dan India di Kedah saya tak bimbang kerana saya tengok mereka dah pandai memilih," katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com