PPBM Bakal "Curi" Dua Lagi Adun PAS Kedah Menjelang PRU 14?


ALOR SETAR - Desas-desus terkini yang hangat diperkatakan tentang PAS di negeri Kedah adalah berkenaan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) parti itu yang dikatakan telah "dipancing" untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Memetik sumber akar umbi yang "bertiup kencang" mengenainya, dalang di sebalik cubaan "mencuri" dua lagi Adun PAS untuk bersama PPBM itu juga merupakan bekas Adun parti itu yang berpaling tadah gara-gara ditawarkan menjadi calon Menteri Besar bagi Pakatan Harapan.

Difahamkan, dalang berkenaan tidak mempunyai pengaruh yang kuat untuk menjadi Menteri Besar ekoran tindakannya menyertai PPBM dan tidak memilih Parti Amanah Negara (PAN) sebagaimana rakan-rakannya yang meninggalkan PAS sebelum ini.

Adun berkenaan juga dikatakan cuba menarik seberapa ramai Adun, pemimpin dan penyokong PAS untuk menyertai PPBM untuk membentuk pengaruh politiknya sebagai persediaan mendapatkan sokongan untuk menjadi calon Menteri Besar Kedah.

Khabar angin berkenaan turut mendakwa dua Adun PAS itu telah bersetuju keluar parti dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk mengumumkan tindakan mereka.

Selain itu, timbul juga dakwaan yang mempertikai tindakan seorang pemimpin PAS yang bertindak seolah-olah "bos besar" apabila beliau mengatur senarai nama calon parti itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

Tindakan tersebut difahamkan telah mencetus rasa tidak puas hati dan kurang senang ramai pemimpin PAS yang lebih senior serta berpengalaman luas dalam politik tempatan, sehingga ada yang dikatakan "merajuk", enggan turut serta bersama jemaah parti.

Contohnya adalah ura-ura mencalonkan bekas kapten bola sepak Kedah, Radhi Mat Din, sebagai calon Parlimen dan Dun pada PRU ke-14 nanti sehingga menimbulkan rasa kurang senang akibat cadangan itu dikatakan tidak dibincang dengan kepimpinan PAS Kawasan Pokok Sena.

Selepas majlis pelancaran jentera pilihan raya yang berlangsung baru-baru ini, PAS Kedah juga dikatakan kini sedang bertungkus-lumus menyusun strategi memperkukuhkan parti ekoran kedudukannya yang kini dicabar sengit Pakatan Harapan.

Pengaruh PAS di Kedah dikatakan digugat PAN dan PPBM, dikatakan begitu aktif "mencuri" serta cuba mempengaruhi ramai pemimpin dan akar umbinya untuk memberi undi kepada parti yang mewakili Pakatan Harapan.

Antara taktik yang digunakan PAN dan PPBM untuk menghasut pemimpin serta akar umbi PAS mengkhianati parti mereka adalah dengan mengetengahkan pemimpin "selebriti" seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Dato' Seri Mukhriz Mahathir, Dato' Mahfuz Omar, Mohamad Sabu dan Leman Raja Lawak.

Pakatan Harapan yang diketuai Mukhriz dan Gagasan Sejahtera yang dipimpin Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi kini sedang "bertarung" sengit cuba mengatasi antara satu sama lain menjelang PRU ke-14 ini.

Pihak yang lebih kuat pula dijangka akan memberi cabaran kepada Barisan Nasional (BN) Negeri Kedah yang dikemudi Pengerusinya, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Ramai pemerhati bebas politik tempatan menjangkakan BN mempunyai kelebihan untuk kekal menguasai Kerajaan Negeri ekoran prestasi pentadbiran Ahmad Bashah yang jauh lebih berkesan, memahami keperluan rakyat dan memiliki hala tuju yang lebih jelas.

Juga difahamkan bahawa masyarakat Cina yang sebelum ini dua kali tidak menyebelahi BN dalam dua siri PRU yang lalu telah beralih arah dan lebih yakin kepada kepimpinan Ahmad Bashah yang lebih adil mengagihkan kek ekonomi negeri serta mementingkan bidang pendidikan di negeri ini.

Pengundi Cina di Kedah turut dijangka akan membuat "kejutan" dengan kembali memberi undi kepada BN pada PRU ke-14 nanti ekoran daripada ketidakstabilan serta "huru-hara" yang berlaku di dalam kem pembangkang, khususnya Pakatan Harapan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com