Polis Tahan Lelaki Bawa Dadah Di Pendang


PENDANG – Polis menahan seorang lelaki dan merampas sejumlah dadah bernilai RM2,150 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Sawa Besar, Jalan Sungai Tiang di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Pendang DSP Fadzil Hashim berkata suspek berusia 31 tahun dan masih bujang itu ditahan pada pukul 6 petang di hadapan rumah berkenaan membawa bersamanya bahan terlarang itu dipercayai untuk dijual.

“Operasi dilakukan sepasukan empat anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang berdasarkan maklumat dan risikan selama lebih kurang dua bulan berhubung kegiatan lelaki itu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Fadzil berkata hasil pemeriksaan ke atas lelaki itu polis menjumpai empat paket plastik lutsinar dan empat keratan straw lutsinar panjang berisi serbuk putih disyaki heroin seberat 70.30 gram bernilai RM2,000 serta satu paket lutsinar berisi serbuk hablur jernih dipercayai syabu dengan berat 1.13 gram berjumlah RM150.

“Siasatan awal mendapati suspek yang juga penggangur mendapatkan bekalan di luar daerah ini sebelum membungkus dan mengedarkannya kepada penagih di sekitar daerah Pendang,” katanya.

Beliau berkata lelaki yang turut positif dadah dalam ujian saringan urinnya itu mempunyai rekod jenayah lampau iaitu pernah ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A(1) ADB 1952 dan Seksyen 12(2) ADB 1952.

Katanya sebuah motosikal jenis Honda EX5 turut disita manakala lelaki itu dibawa ke IPD Pendang untuk tindakan lanjut. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com