Polis Tahan 389 Individu Terlibat Daesh Sejak 2013 - KPN


KUALA LUMPUR - Seramai 389 individu yang disyaki terlibat dengan elemen Daesh ditahan sejak 2013.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata jumlah berkenaan merupakan hasil pemantauan rapi serta risikan keselamatan yang dijalankan dari semasa ke semasa.

Beliau berkata jumlah 389 individu berkenaan termasuklah kes terbaru melibatkan enam rakyat Malaysia dan seorang warga Filipina yang ditahan dalam operasi yang dijalankan pada 27 Februari dan 15 Mac lepas.

“Suspek rakyat Malaysia itu ditahan disyaki merancang untuk melancarkan serangan ke atas rumah-rumah ibadat bukan Islam dan menculik serta membunuh anggota polis.

“Suspek warga Filipina pula merupakan individu yang dikehendaki pihak berkuasa Filipina kerana terlibat dalam kes ‘Penculikan untuk Tebusan' serta beberapa cubaan bunuh,” katanya ketika berucap pada Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-211 Tahun 2018 di Pusat Latihan Polis, pada Ahad.

Hadir pada majlis itu adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim.-Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com