Polis Masih Cari 'Wanita Misteri' Edar Kopi Campur Dadah


GEORGETOWN  - Polis masih cuba mengesan seorang wanita yang dipercayai mengedar kopi pracampuran sehingga menyebabkan tujuh individu dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) Januari lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A. Thaiveegan berkata, polis telah membuat lakaran fotofit wajah wanita berkenaan dan meminta orang ramai agar tampil membantu siasatan.

"Kami masih mencari (wanita berkenaan) tetapi masih menunggu maklumat daripada orang awam. Pihak kami akan buat satu fotofit tetapi ia tidak begitu tepat jadi kami masih menunggu maklumat lanjut daripada orang awam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini kes kopi pracampuran berperisa durian yang mengandungi dadah.

Beliau sebelum itu menghadiri majlis perhimpunan bulanan  bersama anggota polis di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Negeri (IPK) di sini, semalam.

Wanita berusia 40 tahun itu dipercayai individu pertama yang mengedar kopi berkenaan di sekitar pasar dan beberapa restoran  di Jelutong.

Ujarnya lagi, keterangan wanita itu perlu bagi melengkapkan siasatan kes itu mengikut Seksyen 272 Kanun Keseksaan.

Januari lalu, tujuh individu menerima rawatan di HPP akibat diserang gejala seperti sawan dan letih teruk selepas meminum kopi pracampuran berperisa durian yang dicampur dadah yang diberikan individu tidak dikenali.

Sumber: Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com