Polis Kedah Beri Penghargaan Pada 5 Wartawan


ALOR SETAR - Seramai lima ahli Kelab Media Elit Kedah (Kmek) terpilih untuk menerima surat penghargaan bersempena Sambutan Hari Polis Ke-211 peringkat negeri Kedah yang diadakan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, semalam.

Wartawan tersebut ialah M Gokina Morganan mewakili Sinar Harian Edisi Utara, Mohd Rafie Azmin mewakili Utusan Malaysia, Nurul Huda Ahmad Lutfi mewakili Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Chin Bee Quen mewakili Sin Chew Daily dan Mohd Abdul Hadi Abd Kadir (RTM).

Surat penghargaanditerima mereka bersama-sama dengan 40 orang awam yang terdiri daripada pesara polis, kadet polis dan ‘Friends of Police’.

Surat penghargaan itu disampaikan Ketua Polis Kedah, Datuk Zainal Abidin Kasim, yang dinilai berdasarkan penglibatan mereka menjayakan beberapa aktiviti pasukan keselamatan itu dan membantu membanteras jenayah.

Tanda penghormatan dan terima kasih itu dianugerahkan bagi meneruskan kolaborasi polis Kedah untuk meningkatkan lagi imej serta persepsi masyarakat terhadap kualiti perkhidmatan polis.

Sementara itu, Zainal Abidin turut menyampaikan amanat menyeru seluruh warga kerjanya untuk sama-sama tekad serta lafaz ikrar taat setia untuk terus memberikan perkhidmatan kepolisan yang terbaik kepada masyarakat.

“Kekalkanlah kerjasama yang erat serta kesepakatan antara polis dan masyarakat seiring dengan tema polis dan masyarakat berpisah tiada.

“Saya berharap semua warga PDRM Kedah mempunyai kebanggaan terhadap pakaian seragam, lambang dan kerjaya penegak undang-undang.

“Semoga kebanggaan ini menjadi pendorong kepada kita (polis) untuk sentiasa berdampingan dengan masyarakat dalam menunaikan amanah dan tanggungjawab,” katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com