PM Sanggah Tohmahan Warga Emas 93 Tahun


ALOR SETAR - Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menyangkal tohmahan seorang pemimpin pembangkang warga emas berusia 93 tahun yang mendakwa Kerajaan Pusat kononnya tidak mampu menunaikan janji pembangunan yang diumumkan di Pulau Langkawi.

Perdana Menteri sebaliknya membidas pemimpin pembangkang itu dengan menegaskan kecemerlangan Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah berjaya menunaikan sebanyak 99.6 peratus daripada aku janji yang dibuat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang lalu.

"Saya umumkan projek pembangunan infrastruktur libatkan pembesaran Hospital Langkawi dan naik taraf bekalan air dengan dana RM1.3 bilion.

"Namun ada juga pemimpin pembangkang yang berusia 93 tahun yang mentohmah bahawa peruntukan itu semua janji palsu yang tidak mungkin ditunaikan.

"Janji palsu apa kebendanya sedangkan aku janji kerajaan Barisan Nasional setakat 31 Januari 2018 berjaya ditunaikan sebanyak 99.6 peratus.

"Bukankah MRT (Transit Aliran Massa) fasa pertama berjaya kita siapkan sudah kira kita tunaikan," tegas Perdana Menteri, sekali gus menafikan tohmahan dibuat pemimpin Pakatan Harapan itu.

Mohd Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Penutup Ekspo Muafakat Kedah 2018 yang berlangsung di pekarangan Stadium Darulaman, di sini petang tadi.

Turut hadir bersama beliau adalah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Perdana Menteri turut melancarkan Pelan Pembangunan Kedah 2019-2035 sebagai salah satu agenda utama yang berterusan oleh Barisan Nasional (BN) untuk kemajuan dan pembangunan rakyat di negeri jelapang padi ini.

Beliau juga mengumumkan usaha menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di sini sebagai lapangan terbang antarabangsa dalam tempoh lima tahun akan datang selain menjadikan Bukit Kayu Hitam hab logistik utara tanah air.

Ekspo yang julung-julung kali diadakan itu berlangsung meriah selama lapan hari dan telah dikunjungi lebih 500,000 orang pengunjung, sekali gus berjaya melepasi sasaran awal iaitu seramai 400,000 pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com