Petani Dari Yan Bangga Terima Anugerah Tani Bernas


YAN - Bermula dengan hanya mengusahakan sawah bendang yang kecil selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), seorang petani di sini, mampu mengusahakan 38 hektar sawah padi sehingga berjaya mendapat Anugerah Tani Bernas 2017 kategori pengeluaran padi tertinggi seluruh negara.

Azizan Nayan, 52, berkata, dia gembira namun tidak menyangka dipilih sebagai penerima Anugerah Tani Bernas.

“Saya tak sangka saya layak menang anugerah ini kerana ia dipertandingkan di seluruh negeri, tapi alhamdulillah rezeki berpihak kepada saya,” katanya.

Bapa empat anak ini berkata, pihak Bernas banyak membantu dirinya untuk berada pada tahap sekarang.

“10 tahun lalu saya tak pernah jual hasil padi saya kepada Bernas, sebab saya fikir ia tak menguntungkan.

“Tetapi selepas mendapat pencerahan, saya mula jual hasil padi saya kepada Bernas dan alhamdulillah terlalu banyak faedah saya peroleh,” katanya.

Azizan berkata, ketika mula menyertai Bernas, dia mendapat modal pinjaman untuk mengusahakan bendang.

“Bermula dari situlah saya mula mengembangkan tanaman saya dan turut membeli aset tertentu untuk kegunaan sawah," katanya.

Daripada pesawah yang biasa yang tidak ada sebarang aset, kini Azizan memiliki lebih tiga lori, jentera berat seperti pembajak, pam air dan banyak lagi.

Malah Azizan juga mempunyai enam pekerja yang turut mengambil hasil padi milik pesawah lain untuk dihantar ke Bernas.

“Bernas sangat membantu saya, dan pesawah lain juga disaran untuk memilih Bernas kerana sangat menjamin masa depan selain Bernas turut turun padang memantau hasil tanaman kita.

“Bernas sedia beri khidmat nasihat sekiranya tanaman saya mengalami masalah seperti padi angin dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Eksekutif Bekalan Bernas Guar Chempedak, Suhaimi Awang Kechik berkata, Azizan sudah 10 tahun bersama Bernas.

“Azizan seperti anak emas Bernas kawasan ini sebab dia banyak membantu kita dari segi mendapatkan bekalan hasil padi daripada pesawah.

"Pihak Bernas juga akan turut memantau proses tanaman padi milik Azizan agar hasil yang dikeluarkan berkualiti," katanya.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com