Perlis Kubu BN, Pengorbanan Rakyatnya Tidak Akan Dilupakan - Najib


Perlis yang merupakan kubu Barisan Nasional (BN), tidak pernah dilupakan oleh kerajaan Persekutuan dengan diberikan sepenuh perhatian dalam pelbagai bentuk termasuk pembangunan untuk faedah rakyat.

"Tidak pernah dalam sejarah, Perlis diberikan peruntukan 100 peratus bagi tiga kawasan Parlimen untuk Projek Perumahan Rakyat (PPR). Pahang pun tidak dapat 100 peratus ini," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Semalam Najib yang juga Pengerusi BN mengumumkan pembinaan sebanyak 1,400 unit rumah PPR di Kangar, Padang Besar dan Arau selain peruntukan pembangunan projek-projek kecil berjumlah RM9 juta bagi tiga kawasan Parlimen itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man bagi pihak kerajaan negeri dan rakyat Perlis mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas pengumuman kelulusan peruntukan pembangunan berjumlah RM410.04 juta.

Sebanyak sembilan projek telah diluluskan iaitu pembinaan Loji Rawatan Air di Tasoh ( RM41.14 juta), projek menangani Non-Revenue Water ( RM50.5 juta), projek PPR Kangar (500 unit)- RM78 juta, PPR Padang Besar (500 unit) - RM78 juta, PPR Arau (400 unit) - RM62.4 juta.

Projek lain ialah pembinaan Pintu Kawalan Air (Barrage) di Sg Perlis,  RM50 juta, terminal Pengangkutan Awam Bersepadu (RM30 juta), Plazaria Padang Besar (RM10 juta) dan Bazaria Kangar sebanyak RM10 juta.

"Insya Allah, kelulusan peruntukan ini kelak akan dapat mengatasi masalah bekalan air terawat, perumahan mampu milik dan banjir di Perlis, " kata Azlan dalam catatan beliau menerusi Facebooknya hari ini  .


Sementara itu ketika brucap merasmikan Jentera Pilihan Raya BN Negeri Perlis 2018 di Dewan 2020 di Kangar semalam, Najib yang juga Presiden UMNO mahu jentera BN menggembleng tenaga dengan lebih kuat bagi memastikan kemenangan yang lebih besar pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).


Hadir sama Pengerusi BN Perlis Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man, Pengerusi MCA Perlis Datuk Chua Tee Yong dan Pengerusi MIC Perlis S. Vengadasamy.

Menurut Perdana Menteri lagi,  menerusi mandat yang lebih besar itu beliau yakin kemajuan yang lebih pesat mampu dikecapi di setiap negeri dengan rakyat dapat merasai nikmat pembangunan itu.

"Kita bukan takbur dan InsyaAllah kita boleh menang tetapi kita mahu kerajaan yang kuat. Kita tidak boleh anggap semuanya berada dalam genggaman dan sebab itu kita perlu bekerja kuat.

"Dengan dasar yang jelas bersama kemampuan dan pelaksanaan yang BN ada, kita mampu pastikan kemenangan parti," katanya.

Najib berkata dengan mandat yang lebih besar itu nanti,perubahan ketara akan dapat dilihat termasuk di Perlis dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
"Hebatnya di bawah kepimpinan BN ini, banyak lagi yang kita mahu buat dalam tempoh lima atau enam tahun untuk ubah rupa negara.

Apabila kerajaan kuat dapat dibentuk, ia juga nanti akan  meningkatkan keyakinan rakyat dan dunia termasuk lebih banyak pelabur  akan terus melabur dan nilai ringgit akan terus mengukuh," katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, pengukuhan nilai ringgit ketika ini membuktikan tohmahan pembangkang adalah salah dengan membuat pelbagai dakwaan termasuk negara akan bankrap.

"Siapa kata dunia tidak ada keyakinan dengan Malaysia? Siapa kata negara bankrap, kalau bankrap tidak mungkin pemimpin dunia luar datang ke  Malaysia untuk membuat pelaburan," kata Najib menangkis serangan pembangkang yang mendakwa BN gagal menguruskan negara dan pelbagai tuduhan liar serta tidak berasas. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com