Percaya Dengan Barisan Kedua: Cheng Hoe


KUALA LUMPUR - Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tampak tidak gentar walaupun sekadar memiliki barisan kedua untuk mengharungi aksi Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Lubnan di Beirut, malam ini.

Jelas bekas jurulatih Kedah itu, beliau memberi sepenuh kepercayaan terhadap skuad kebangsaan yang kini dibarisi sembilan muka baharu selepas 12 pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) digugurkan sejurus tamat perlawanan persahabatan bertemu Mongolia, Khamis lalu.

"Selain Kiko Insa yang digantung perlawanan kerana menerima dua kad kuning sebelum ini serta Rawilson Batuil yang digugurkan atas faktor keluarga, saya ada 23 pemain dan saya rasa semua pemain ini boleh memberi sesuatu untuk perlawanan bertemu Lubnan nanti.

"Saya dan jurulatih lain juga percaya mereka yang diturunkan nanti mampu memberikan yang terbaik. Ini ruang untuk mereka membuktikan kemampuan selaras dengan hasrat kami untuk memberi lebih banyak peluang kepada pemain lain mewakili skuad kebangsaan.

"Saya akui ia satu cabaran besar selepas kehilangan ramai tonggak namun secara positifnya, kami dapat meramaikan lagi pilihan pemain untuk masa akan datang khususnya persiapan menghadapi saingan Piala AFF hujung tahun ini," katanya ketika dihubungi semalam.

Harimau Malaya akan mengharungi aksi penutup Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Lubnan yang juga pendahulu kumpulan di Stadium Camille Chamoun Sport City dengan sebarang keputusan tidak mampu mengubah kedudukan mereka di tangga tercorot apabila sekadar meraih satu mata.

Pada aksi pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 13 Jun lalu, Malaysia mendahului menerusi jaringan Mahali Jasuli di hujung babak pertama namun dua gol lewat permainan Rabih Ataya pada minit ke-79 dan minit ke-90 menghampakan skuad kebangsaan yang ketika itu dibimbing Nelo Vingada.

Selepas lima perlawanan, skuad kebangsaan sekadar meraih satu keputusan seri iaitu 1-1 dengan Hong Kong dan tewas empat perlawanan dengan mereka sekadar mencetak empat jaringan namun dibolosi 13 gol.

Mengulas lanjut mengenai aksi bertemu pasukan yang menghuni tangga ke-87 dunia itu, Cheng Hoe menjelaskan pelbagai aspek perlu dinilai kembali memandangkan skuad kebangsaan kini dibarisi ramai pilihan kedua.

"Berdasarkan aksi bertemu Mongolia tempoh hari, kami boleh rumuskan beberapa kelemahan seperti kekurangan penyudah dan kelekaan pertahanan. Namun saya perlu melihat secara keseluruhan di setiap bahagian memandangkan dalam bola sepak, setiap bahagian perlu seimbang.

"Peluang untuk kesebelasan utama juga masih terbuka kerana sukar untuk menjangkakan kesebelasan utama terbaik dalam tempoh singkat. Apa pun, saya akan menurunkan kesebelasan utama terbaik untuk aksi malam esok," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com