Penyokong PPBM Kecewa Jika Mahathir Guna Logo Roket?


Penyokong  Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sudah tentu akan kecewa jika pengerusi parti itu Tun Dr. Mahathir Mohamad memilih simbol 'roket' milik DAP untuk bertanding pada dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kekecewaan itu diluahkan oleh beberapa penyokong PPBM di negeri Kedah hari ini kerana mereka telah 'berjuang' untuk menghidupkan parti itu sejak ia dilancarkan.

Mereka rela menggunakan logo atau simbol parti lain dalam Pakatan Harapan seperti PKR atau PAN daripada menggunakan logo DAP jika simbol 'bunga raya' milik PPBM itu tidak diluluskan atau PPBM dibubarkan. 

Lagi pun simbol DAP itu 'fobia' bagi orang Melayu di luar bandar, kata beberapa penyokong parti itu.

Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan baru-baru ini berkata, gabungan pembangkang itu akan menggunakan salah satu logo parti komponen pakatan itu jika Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) tidak meluluskan penfadtaran Pakatan Harapan.

Pakatan Harapan belum dapat diluluskan pendaftaran  berikutan RoS sedang menyiasat kesahihan mesyuarat agung tahunan PPBM selepas menerima  aduan lebih 400 ahli parti berkenaan.

Semalam Ahli Majlis Ter­tinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi percaya bahawa Dr. Mahathir tidak yakin untuk bertanding atas logo PPBM yang didakwa tidak mempunyai kekuatan akar umbi, khususnya da­lam kala­ngan orang Melayu.

Demi memastikan kemenangan dan impian untuk menjadi Perdana Menteri sementara tercapai, Dr. Mahathir Mohamad sanggup mengetepikan rasa segan-silu selama 22 tahun meludah DAP semata-mata untuk bertanding atas tiket parti tersebut, katanya.

Dalam hal ini Dr. Puad berkata  Dr. Mahathir juga perlu menjawab persoalan sama ada segala masalah dalaman yang timbul termasuk Mesyuarat Agung PPBM adalah disengajakan supaya membolehkan beliau menggunakan logo DAP dalam PRU-14.

“Sehingga ke hari ini tidak ada sebarang usaha konkrit daripada pengurusan PPBM untuk menyelesaikan masalah dalaman parti kecuali berulang kali menjadikan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sebagai ‘kam­bing hitam."

“Sebab itu Dr. Mahathir perlu tampil dan beri penjelasan sama ada benar bahawa pihak pengurusan PPBM sengaja buat masalah dengan ROS sebagai alasan untuk bertanding atas tiket DAP,” kata­nya dalam kenyataan.

PPBM mempunyai tempoh beberapa minggu sahaja lagi sebelum pembubaran Parlimen, Dr. Mahathir dan anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir hampir pasti akan bertanding menggunakan logo DAP.

RoS sebelum ini memberi tempoh kepada PPBM selama 30 hari untuk mengemukakan segala maklumat berkaitan mesyuarat agung pertama parti itu yang diadakan pada hujung Disember lepas.

Bimbang PPBM dibubarkan, Timbalan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta RoS memanjangkan tempoh untuk menyediakan segala maklumat yang diperlukan oleh agensi itu. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com