Penutupan 1MDB Bersifat Komersial - Reezal Merican


KEPALA BATAS - Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyifatkan penutupan syarikat pelaburan strategik, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai keputusan berbentuk komersial.

Beliau yang juga bekas anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berkata apa jua keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengarah 1MDB termasuk penutupan itu adalah berlandaskan kepada kepentingan negara dan rakyat.

Bagaimanapun, katanya, walaupun berhadapan dengan pelbagai kontroversi, pelan rasionalisasi yang dilaksanakan di bawah 1MDB telah menampakkan kejayaan menerusi pelaksanaan beberapa projek mega.

"Tetapi 1MDB ini telah dilunyaikan sebegitu teruk. Bila kita nak jual benda, benda dan sentimen dah dilunyaikan oleh orang kita sama ada boleh dijual atau tidak. Jadi, kita kena buat keputusan  komersial, ia bukan keputusan politik.  

"Saya menganggap apa jua keputusan yang nak dibuat tentu sekali berlandaskan kepada keputusan demi untuk negara dan rakyat. Jadi, apa jua yang dianggap baik ia akan diputus dan dibuat secara telus tanpa ada apa-apa yang tersembunyi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Transformasi Rakyat 2018 Parlimen Kepala Batas, di sini pada Sabtu. 

Selasa lepas, Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang juga Pengerusi 1MDB, Tan Sri Dr Mohd Irwan Siregar Abdullah dilapor berkata 1MDB akan ditutup selepas semua hutangnya selesai dibayar.

Sementara itu, mengulas mengenai seminar itu, Reezal Merican yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas berkata program itu adalah untuk memastikan pembangunan taraf sosio-ekonomi masyarakat dapat dipertingkat dengan memberi pelbagai pendedahan maklumat seiring dengan matlamat Transformasi Nasional (TN50) yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata program itu dapat memberi peluang kepada generasi muda terutamanya di kawasan luar bandar untuk mengetahui peluang-peluang yang mampu dicapai selain mereka perlu peka dengan revolusi industri yang sedang berlaku. 

 “Tak ramai anak muda di luar bandar faham apa makna revolusi industri 4.0. Sebagai contoh ekonomi digital, industri kreatif, industri inovatif, dan sebagainya tetap akan sampai ke kawasan kita. Ia akan mengambil tempat dan banyak perubahan yang akan berlaku," katanya.- BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com