Penjawat Awam Kedah Tunaikan Kewajipan Anda!


ALOR SETAR - Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Zainal Rahim Seman mengerah kira-kira 1.6 juta penjawat awam di seluruh negara terutama sekali di Kedah agar mejalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum  Ke-14 (PRU14) kelak.

Menurutnya, kelompok terbabit antara yang bertanggungjawab memacu pembangunan negara.

Susulan itu, penjawat awam perlu mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan termasuklah mereka yang terlibat dalam politik. 

"Kita percaya kakitangan awam bijak dalam menentukan kehendak mereka sendiri...keluarlah mengundi dan siapa yang belum berdaftar sebagai pengundi, pergilah daftar dengan segera," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri program Wacana Khas Transformasi Nasional 2050 (TN50) Zon Utara di sini, semalam.

Turut hadir Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda. 

Zainal Rahim turut berkata laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2017 yang dibentangkan kerajaan pada Jumaat membuktikan setiap tahun, kerajaan menyediakan pelbagai perancangan kemajuan ekonomi dan pembangunan yang pesat.

"Kita lihat beberapa segmen dalam laporan itu menunjukkan kita berjaya dari satu tahap ke satu tahap, contohnya, dari segi pencapaian volum ekonomi, kita sudah capai RM1.7 trilion...dengan langkah-langkah yang kita buat, kita boleh sampai RM3 trilion," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta sektor awam memainkan peranan yang sama penting dengan swasta dalam membantu kerajaan untuk mengekalkan momentum cemerlang pada masa hadapan.  - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com