Pengundi Setia Akan Terus Bersama BN - Ahmad Bashah



Pengundi setia Barisan Nasional (BN) tidak akan menukar haluan sebaliknya akan terus memberikan sokongan untuk memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, beliau yakin pakatan pembangkang yang terbentuk hasil daripada 'serpihan' parti-parti politik di negara ini tidak akan bertahan lama.

"Mereka  tidak akan berjaya menembusi kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional yang sedia ada, " kata Ahmad Bashah pada sidang akhbar selepas majlis ramah mesra dan makan tengah hari bersama penduduk Cina dan India di Kampung Baru Bedong, di kawasan Parlimen Jerai semalam.

Ahmad Bashah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan parti pembangkang yang cuba mencari pengaruh dalam kalangan penyokong tegar UMNO dan BN.

Menurut beliau lagi, BN meletakkan sepenuh keyakinan bahawa pengundi setianya tidak adakan berubah kerana parti serpihan itu  tidak boleh buat apa-apa malah tidak boleh membantu dalam membangunkan sesuatu kawasan.


Beliau percaya parti serpihan daripada PAS, iaitu Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), akan gagal dan  mati.

"Oleh sebab itu parti serpihan ini cuba memasuki kawasan yang memang dimiliki oleh BN dan mempunyai ramai penyokong tegar BN," katanya.

Sementara itu beliau optimis masyarakat berbilang kaum, khususnya Cina dan India di Kedah juga kini bijak dalam membuat pilihan walaupun sebelum ini pernah membuat kesilapan. 

Pada program jelajah muafakat itu Ahmad Bashah turut beramah-mesra dan menikmati hidangan tengah hari bersama pengundi Cina di Kampung Baru Bedong selain meluluskan peruntukan berjumlah RM70,000, untuk diagihkan bagi pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sin Kuo Min, membaiki bangunan tokong serta pengurusan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru Bedong.

Sebelum itu Menteri Besar menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama ibu bapa Tabika Kemas di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu 5 Jalan Jeniang, Gurun, serta beramah mesra bersama Pengundi India menerusi Program Khidmat Kesihatan Dan Derma Darah di Pasaraya Aneka Gurun.

Turut hadir Ahli Parlimen Jerai yang Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Datuk Dr. Leong Yong Kong dan ADUN Guar Cempedak, Datuk Dr. Ku Rahman Ku Ismail.- Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com