Pengarah Urusan Kumpulan BDB Meninggal


ALOR SETAR -  Pengarah Urusan Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB), Datuk Izham Yusoff, 50, meninggal dunia pagi ini.

Pemergian Allahyarham disahkan oleh Pengurus Kanan, Komunikasi Korporat Kumpulan, Sajahan Abdul Waheed menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Izham disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 8.04 pagi di Hospital Pantai, Kuala Lumpur.

“Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Joani Sofina Othman,49, serta dua anak,” katanya.

Izham yang juga Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB mula berkhidmat dengan syarikat itu setelah dilantik sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas BDB pada Ogos 2013.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Bukan Bebas pada Februari 2014.

Selain memgang jawatan penting di BDB, Izham turut dilantik sebagai ahli Lembaga Panel Pelaburan Tabung Haji pada 1 Oktober 2017.

Sebelum perkhidmatan bersama BDB, beliau adalah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Percetakan Nasional Malaysia Berhad dari Februari 2010 hingga Januari 2014.

Beliau juga telah berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif serta Ketua Pegawai Operasi Ninebio Sdn. Bhd. dari 2007 hingga 2010, Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif KUB Malaysia Berhad dari 2004 hingga 2007 serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Amanah Raya Berhad dari 2002 sehingga tahun 2004 selain pernah menjawat jawatan Pengarah Bursa Malaysia Berhad.  

Sumber: Utusan 

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com