Penduduk Pasung Datuk Bandar Kerana "Malas"


SUCRE - BOLIVIA. Penduduk bandar di San Buenaventura di utara Bolivia mempunyai cara tersendiri bagi 'mengajar' ahli politik yang gagal memberikan perkhidmatan terbaik.

Baru-baru ini penduduk bandar itu bertindak memasung Datuk Bandar, Javier Delgado selama sejam kerana tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang dilaksanakan.

Gambar Delgado yang dipasung kakinya dengan dikelilingi penduduk yang marah telah tular di media sosial dan laman berita di Amerika Selatan sejak hujung bulan lalu.

Pada 25 Februari lalu, Delgado sepatutnya merasmikan sebuah jambatan yang dibina menggunakan dana majlis perbandaran dan kerajaan namun apabila tiba di kawasan terbabit orang ramai yang hadir bukannya untuk menyaksikan upacara itu sebaliknya mahu ‘mengajar’ beliau.

Seorang penduduk bandar itu, Daniel Salvador melalui Radio Fides, Delgado dihukum kerana tidak memenuhi tanggungjawabnya, menipu dan tidak meletakkan masyarakat setempat sebagai keutamaan ketika diminta untuk melakukannya.

Ini merupakan hukuman ketiga menerusi hak keadilan sosial buat Delgado sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai Datuk Bandar dengan kali pertama beliau telah dipasung beberapa bulan selepas memegang jawatan itu.

Hukuman kali kedua berlaku apabila penduduk setempat mengambil alih pejabatnya selama dua bulan dan Delgado yang bimbang tentang keselamatannya terpaksa melarikan diri ke bandar berdekatan sehinggalah Suruhanjaya Pihak Berkuasa Penduduk Tempatan berjaya menyelesaikan konflik berkenaan.

Seperti masyarakat tempatan lain di Bolivia, penduduk San Buenaventura melaksanakan pentadbiran bandar menerusi tiga prinsip asas iaitu ‘tidak boleh malas, tidak boleh menipu dan tidak boleh menjadi pencuri’ malah peraturan itu telah termaktub dalam perlembagaan negara sejak 2009.

Sumber - Oddity Central

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com