Penduduk Kampung Di Baling Mohon Turap Jalan Kampung


ALOR SETAR - Penduduk kampung di lorong 12 C Kampung Ulu Tawar Tengah memohon agar pihak berkenaan turut padang melihat sendiri keadaan jalan sepanjang 800 meter di kampung itu yang sudah darurat dan diminta agar ia segera diturap.

Wakil penduduk, Biden Md Talib, 50, berkata, jalan berkenaan hanya pernah sekali diturap iaitu sebelum PRU12 dan sehingga kini sebarang pembaikan mahupun penurapan tidak pernah dilakukan.

Menurutnya, permukaan jalan di kampung tersebut sudah lama rosak teruk ekoran daripada kejadian banjir yang sering berlaku setiap tahun.

“Jalan kampung ni dah lama tak diturap, lebih teruk masalah kami bila hujan. Habis becak dan berlopak. Kereta nak lalu pun tak boleh.

“Baru-baru ini ada pihak letak batu sungai. Kami minta tar, bukannya batu tu,” katanya ketika ditemui di Kampung Ulu Tawar Tengah.

Tambahnya, sebelum ini sudah dua kali pihak berwajib datang melihat keadaan dan menyukat jalan tersebut namun menyedihkan apabila hingga sekarang tiada tanda-tanda akan diturap.

“Dua kali dalam tempoh empat tahun pihak tu mai, terbaru tahun lepas datang sukat,” katanya.

Menurutnya, selain diturap, penduduk berharap kerajaan dapat meninggikan jalan berkenaan selain menyelengara sistem perparitan.

“Jalan sekarang ni rendah sangat. Bila banjir, kami seramai lebih 30 orang di lorong ni terputus hubungan. Nak keluar memang tak boleh.

“Kalau berlaku kecemasan macam mana? Anak saudara saya sekarang kandungannya dah berusia 9 bulan. Awal bulan empat dijangka bersalin. Macam mana kalau hujan waktu tu? Terpaksa la redah banjir nampaknya,” katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com