Penduduk Gempar, Anak Lembu Menyerupai Manusia


GEMPAR… Warga Gorontalo telah dikecohkan dengan kelahiran seekor anak lembu yang seakan-akan mirip bentuk manusia dan tular menerusi media sosial sejak Jumaat lalu.

Kejadian aneh yang berlaku di Indonesia itu, telah menimbulkan kecurigaan dan tanda tanya kepada orang awam apabila ramai berpusu-pusu menyaksikan anak lembu tersebut.

Lapor portal Detik, Ketua Hubungan Masyarakat Polis Daerah Gorontalo, AKBP Wahyu Tri Cahyono berkata, haiwan itu dikatakan mirip manusia kerana kepala bulat dan kelihatan ada sepasang mata serta mulut seolah-olah sama seperti manusia.

“Apa yang menghairankan, mata anak lembu itu juga berada pada bahagian depan dan turut ada kening. Ia memiliki otot dan tulang punggung seperti tulang pinggul bayi yang berumur antara satu hingga dua minggu,” ujarnya.

Penduduk tempatan yang dikenali sebagai Septiana, berkata, anak lembu tersebut dilahirkan pada Khamis lalu dan menjadi kecoh apabila dijumpai oleh penduduk di kawasan sekitar dalam keadaan tidak bernyawa.

“Kepalanya jelas menyerupai manusia. Ia sudah mati ketika dikerumuni orang ramai,” katanya.

Bangkai tersebut telah ditanam apabila mula berbau selepas beberapa hari mati.

Menurut Penyelidik Institut Sains Indonesia, Gono Semiadi memberitahu, penduduk setempat yang membuat andaian, kelahiran anak lembu tersebut bakal membawa malapetaka kepada semua penduduk di kawasan tersebut hanyalah sekadar mitos sahaja.

“Jangan dikaitkan dengan sumpahan, mistik, atau apa sahaja. Pandangan saya, anak lembu tersebut adalah berkait dengan faktor biologi dalaman atau luaran,” katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com