Penagih Dari Pendang Tertelan Gigi Cuba Lolos Dari Polis


ALOR SETAR - Seorang lelaki berusia 62 tahun tertelan gigi selepas tersungkur ke dalam longkang ketika cuba melarikan diri daripada ditahan pihak berkuasa dalam operasi di kebun kelapa sawit di Kilang Kechil, di sini petang semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 petang, lelaki itu mengalami luka di bahagian gusi bawah dan kaki sebelum ditahan bersama rakannya berusia 35 tahun oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pendang.

Dalam serbuan itu, sembilan lagi lelaki berusia 25 hingga 40-an turut ditahan dalam operasi yang bermula jam 3 petang hingga jam 7.30 malam semalam.

Lelaki yang berasal dari Gajah Mati, dekat sini dipercayai memberi alasan kepada isterinya untuk membeli barang dapur sebelum pergi ke port yang dikenali sebagai "Port Mandu" itu untuk mendapatkan bekalan dadah jenis heroin.

Dia yang mempunyai lima cucu mengakui sudah lebih 10 tahun menagih dadah dan masih di bawah pengawasan AADK tetapi tetap mencari dadah untuk melepaskan gian.

Selain itu, seorang penjawat awam berusia 25 tahun turut ditahan pihak berkuasa di lokasi yang sama.

Dia dipercayai sudah empat tahun menagih dadah jenis heroin dan pernah ditahan kali pertama di port kelapa sawit yang terletak kira-kira empat kilometer (km) dari kawasan itu untuk menagih dadah.

Dia mendakwa kerap datang ke kawasan tersebut untuk melepaskan gian selepas pulang dari tempat kerjanya di Pekan Pendang pada waktu petang.

Sementara itu, tinjauan di kawasan itu mendapati ia penuh dengan sampah sarap dan turut ditemui beberapa benda tajam yang dipercayai digunakan untuk penagihan dadah.

Menurut Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Fadzil Hashim berkata, serbuan itu kali kedua dilakukan di kawasan itu walaupun baru melakukan operasi kali pertama Rabu lalu.

Tambah beliau, kebanyakan penagih terbabit adalah sebahagian daripada mereka yang berjaya meloloskan diri dalam operasi sebelum ini di kawasan port kebun getah di Kampung Paya Kerchut, sebelum berpindah ke kawasan ini.

"Daripada 11 orang yang ditahan, tiga daripada mereka memiliki jenis heroin dan lapan daripadanya adalah penagih.

"Hasil ujian awal saringan air kencing terhadap mereka mendapati kesemuanya positif dadah jenis heroin.

"Kita turut merampas lima tiub straw dan dua paket plastik kecil berisi heroin dan beratnya masih dalam siasatan," katanya memetik BH Online.

Fadzil berkata, kawasan itu dipercayai aktif sejak sebulan lalu dan dikatakan beroperasi dari awal pagi hingga senja oleh penagih yang datang untuk melepaskan gian menagih.

Beliau berkata, tiga suspek yang memiliki dadah diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12 (2 ) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah.

Sementara lapan lain yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1983. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com