Pemuda Dari Jitra Cipta Kelainan Perkenal Sate Keju Meleleh


JITRA - Makan sate bersama keju mungkin kedengaran agak janggal, tetapi bagi mereka yang pernah menikmati makanan ini, kelazatannya nyata tidak dapat disangkal lagi.

Pengusaha Shahril Satay, Mohd Izani Abu Bakar, 32, berkata, idea unik menggabungkan sate bersama keju itu ilham dia bersama seorang rakannya, Shahril.

“Kami cuba cari kelainan, lagipun tengok orang Kedah ini rata-ratanya suka makan makanan yang ada 'cheese' (keju)," katanya ketika ditemui di gerainya di sini, kelmarin.

“Kami jaga kualiti makanan kami, sebab tu kami gunakan ayam segar jadi isi ayam akan lebih lembut dan sedap.

“Untuk daging pula, kami jamin, daging kami tak liat, sebab tu setiap gigitan daging itu pelanggan dapat rasa bahan perapan sate yang meresap masuk,” katanya.


Izani berkata, setelah beroperasi hampir tiga bulan di daerah ini, maklum balas diterima sangat baik.

“Mula-mula dulu depa tanya sedap ka? Tapi alhamdulillah, bila depa dah cuba, ramai yang suka.

“Ada juga yang minat ambil tempahan untuk majlis dan saya turut buat servis penghantaran.

“Selalu pelajar Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan lain-lain kolej kat sini, depa telefon pesan ramai-ramai.

“Jadi kami akan buat servis penghantaran ke asrama,” katanya yang turut mempunyai cawangan di Pendang, Gurun dan Bukit Besar.

Menurutnya, permohonannya untuk mendapatkan bantuan motosikal melalui program Usahawan Bergerak (Mobilepreneur@KKLW) juga telah diluluskan.

Gerai sate cawangan Jitra beroperasi setiap hari kecuali Isnin, dari jam 5 petang hingga 4 pagi, berhadapan kuarters Hospital Jitra.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com