Pemandu Uber Kena Baling Batu


GEORGETOWN - Seorang pemandu Uber kerugian kira-kira ratusan ringgit apabila cermin hadapan keretanya retak dipercayai akibat perbuatan khianat, Khamis lalu.

Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan sedang memandu sendirian di Jalan Ria, berdekatan Komtar selepas menurunkan penumpang di sebuah bank di situ.

Ketika mangsa memberhentikan keretanya di lampu isyarat di persimpangan jalan tersebut, dia didatangi dua individu yang menunggang sebuah motosikal lalu membaling batu ke arah cermin hadapan kereta Perodua Myvinya itu.

Difahamkan, mangsa yang berasal dari Gelugor itu tidak sempat mengecam suspek yang melakukan perbuatan tersebut kerana panik.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, kejadian berlaku pada 8 Mac lalu, kira-kira jam 7.40 pagi di persimpangan Jalan Ria menuju ke Jalan Magazine di sini.

Menurutnya, hasil siasatan, selepas menurunkan penumpang di hadapan sebuah bank di Komtar, mangsa memandu ke Jalan Penang.

“Ketika di Jalan Penang, ada sebuah motosikal membunyikan hon berulang kali kepada mangsa. Namun, mangsa tidak menghiraukannya. Semasa mangsa melalui Jalan Ria, dia terdengar bunyi ketukan di bahagian cermin sisi sebelah pemandu.

“Mangsa mendapati cermin sisi keretanya itu telah pecah, namun masih meneruskan pemanduannya. Ketika dia berhenti di persimpangan Jalan Ria, datang dua individu menaiki sebuah motosikal lalu membaling batu ke cermin kereta mangsa sehingga retak,” katanya.

Menurutnya, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan, suspek merupakan seorang lelaki dan pemboncengnya adalah wanita.

“Mereka menaiki motosikal jenis Honda EX5 berwarna hitam, namun nombor pendaftaran tidak dapat dilihat dengan jelas. Rakaman CCTV dihantar ke forensik,” katanya.

Anuar berkata, polis sedang mengesan dua suspek tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.

Terdahulu, rakaman video berdurasi 2 minit 2 saat mengenai kejadian itu tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.

Menerusi video itu, didapati dua suspek menaiki sebuah motosikal datang dari arah bertentangan lalu membaling batu ke arah kereta mangsa ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com